TANJUNG MANIS, 18 FEBRUARI 2024 (SNN): Kerajaan Sarawak melalui Kementerian Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak (MUT) komited untuk memastikan semua rakyat mendapat bekalan air bersih menjelang 2030.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, salah satu usaha kerajaan negeri menyediakan bekalan air bersih adalah dengan siapnya Projek Bekalan Air di Tanjung Manis yang menelan kos sebanyak RM974.1 juta yang mana mula dilaksanakan pada tahun 2013.
Katanya, loji dengan kapasiti 50 juta liter sehari (JLH) itu hanya menggunakan 8 hingga 13 JLH bagi menampung keperluan harian penduduk manakala selebihnya digunakan bagi keperluan industri di kawasan terbabit.
“Bagi mengelakkan risiko paip pecah, saya mencadangkan kaedah baru digunapakai untuk menyalurkan paip iaitu dengan menggunakan jambatan yang diperkukuhkan kekuatannya berbanding kaedah sedia ada iaitu dari dasar sungai.
“Maknanya risiko paip pecah di dasar sungai dapat dikurangkan dengan menggunakan kaedah menyeberang menggunakan jambatan,” katanya ketika merasmikan Program Pemimpin Bersama Rakyat dan Perasmian Bekalan Air Tanjung Manis pada Sabtu.
Dalam pada itu, Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak, Dato Sri Julaihi Narawi memberitahu, kementeriannya mensasarkan untuk mencapai liputan penuh bekalan air di Sarawak menjelang tahun 2030.
Tambahnya, setakat ini liputan keseluruhan bekalan air di Sarawak dianggarkan pada 85.4 peratus manakala bagi kawasan luar bandar pula adalah dianggarkan pada kadar 70.5 peratus.
“Kerajaan Sarawak telah memperuntukkan sejumlah RM591.2 juta di bawah Kajian Separuh Penggal Rancangan malaysia Ke-12 bagi pelaksanaan 101 projek bekalan air untuk dilaksanakan pada tahun 2023 dan 2024.
“Usaha untuk melengkapkan liputan bekalan air ini adalah selaras dengan Strategy Pembangunan Pasca Covid-19 (PCDS 2030),” jelasnya.
Tutut hadir sama adalah Setiausaha Kerajaan Sarawak; Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki, Timbalan Menteri Perancangan Bandar, Pentadbiran Tanah dan Alam Sekitar Sarawak; Datuk Len Talif Salleh, Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Hal Ehwal Korporat, Penerangan dan UKAS); Datuk Abdullah Saidol serta dif-dif kenamaan lain.