KUCHING, 26 DISEMBER 2023 (SNN): Program SAMAsiswa 2023 anjuran Amanah Khairat Yayasan Budaya Melayu Sarawak (AKYBMS) dengan kerjasama Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) membawa objektif untuk melahirkan sikap kepimpinan dalam kalangan siswa dan siswi.
Menurut Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar dan Alumni UNIMAS, Professor Ir. Dr Al Khalid Othman program yang berlangsung selama dua hari yang disertai seramai 48 siswa dan siswi dipenuhi dengan pengisian pelbagai aktiviti jati diri para pelajar Melayu Sarawak untuk melahirkan generasi pelapis pemimpin yang berwibawa dan mampu berdaya saing dalam menempuh era globalisasi yang kian mencabar.
“Adalah menjadi doa dan harapan ibu-bapa agar anak-anak mereka menjadi orang yang berguna kepada keluarga, masyarakat, negeri dan negara. Adalah juga menjadi doa dan harapan saudara-mara dan rakan agar dapat memiliki diploma atau ijazah yang berkualiti.
“Pihak kerajaan juga menyediakan berbagai-bagai kemudahan dan bantuan untuk golongan belia yang hendak menyambung pelajaran ke peringkat universiti,” katanya ketika berucap pada Majlis Penangguhan Program Samasiswa di Sumiran Eco Park And Resort pada Ahad.
Sepanjang program tersebut berlangsung antara aktiviti yang dijalankan adalah Wacana Minda oleh Dr. Dillah bin Tuah dan Dr. Santrol bin Abdullah, Telematch, Rafting, Blindtrail, Double Zipline Flying Fox, Latihan dalam Kumpulan dan lain-lain.
Program ini menerapkan pendedahan elemen kepimpinan, pemantapan keyakinan diri, mempertingkatkan kualiti insaniah seterusnya memacu siswa yang menjulang prinsip amar makruf, nahi mungkar dan berpaksikan Alif-Ba-Ta.
Pada majlis tersebut juga, Datu Dr. Haji Sanib bin Haji Said, Ahli Sejarawan Sarawak merangkap Pengurus Besar Amanah Khairat Yayasan Budaya Melayu Sarawak (AKYBMS) turut menyampaikan ceramah beliau mengenai “Asal-Usul Melayu Sarawak”.
Turut hadir sama Timbalan Dekan Fakulti Pendidikan, Bahasa dan Komunikasi Universiti Malaysia Sarawak; Dr Dillah Tuah, Pensyarah Kanan Fakulti Pendidikan, Bahasa dan Komunikasi Universiti Malaysia Sarawak; Dr Santrol Abdullah, Pensyarah Fakulti Pendidikan, Bahasa dan Komunikasi Universiti Malaysia Sarawak; Fatin Ardani Zamri dan kakitangan AKYBMS.