LAWAS, 27 FEBRUARI 2024 (SNN): Penganjuran Program SAMASEDIA 2024 anjuran Amanah Khairat Yayasan Budaya Melayu Sarawak (AKYBMS) berpotensi menyerlahkan kemampuan para belia dalam aspek kepimpinan di negeri ini.
Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan dalam ucapan dibacakan oleh Ahli Parlimen Lawas, Dato Henry Sum Agong berkata, program seumpamanya amat diperlukan pada era ini memandangkan banyak pembangunan yang sedang rancak dilaksanakan terutama di Daerah Lawas dari semasa ke semasa yang memerlukan kepimpinan dari golongan muda pada masa akan datang.
“Dengan tekad untuk mencemerlangkan bangsa Melayu Sarawak dalam bidang ekonomi, politik, pendidikan, agama, sosial dan seni budaya, program yang diadakan selama tiga hari itu membawa peserta untuk berfikir dengan sendiri melalui tugasan dan aktiviti yang diberikan, berkaitan asas menjadi seorang pemimpin dan mengharungi kehidupan sebenar.
“Begitu juga dengan pendidikan perlu seiring dengan tempat lain seperti Pusat Kecemerlangan Teknologi Sarawak (CENTEXS) dan Maktab Rendah Sains MARA (MRSM).
“Jalan raya mahupun jambatan kita terus dibina dan dinaiktaraf yang mana akan menghubungkan Lawas dengan tempat lain.
“Selain itu, sebuah projek tidak akan dapat dilaksana jika tidak ada tapak, oleh itu pembangunan perlu mendapat kerjasama seluruh masyarakat agar ia dapat berjalan dengan lancar.
“Adalah menjadi tugas dan tanggungjawab anak-anak muda untuk sama-sama berjuang ke arah mencapai cita-cita kita bersama untuk melihat Lawas terus maju,” katanya semasa berucap merasmikan program tersebut mewakili Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan bertempat di Institut Latihan Islam Malaysia Kampus Lawas, pada Ahad.
Tambah beliau, menjelang tahun 2030, golongan belia dijangka merupakan kumpulan majoriti yang akan menjadi pemegang taruh dalam mencorak dan menentukan kepimpinan Malaysia.
Ke arah itu katanya, para belia diberi hak istimewa untuk mengundi yang mana harus dipikul dengan penuh tanggungjawab dengan turun mengundi semasa pilihan raya yang diadakan setiap lima tahun.
“Belia mesti rela berkorban demi satu undi, yang akan menentukan wakil rakyat di kawasan kita sendiri, satu kawasan juga akan menentukan siapa yang akan memimpin negeri dan negara kita. Jangan beranggapan satu undi tidak penting. Jika ramai yang beranggapan satu undi tidak penting maka banyak yang tidak mengundi,” jelasnya.
Turut hadir pada program itu adalah Setiausaha Politik Premier Sarawak; Awangku Jinal Abedin Dato Pengiran Jawa, Penyelaras Program SAMASEDIA 2024 merangkap Biro Politik AKYBMS; Sulhee Salleh serta Professor Madya (Pengurusan) Fakulti Ekonomi dan Perniagaa Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) selaku penceramah Jemputan Program SAMASEDIA; Dr Ailal Abdul Latif.