KOTA SAMARAHAN, 20 APRIL 2022 (SNN) : Ahli Parlimen Kota Samarahan, Datuk Hajah Rubiah Wang meluangkan masa menyertai Program ‘Quran Hour’ yang dianjurkan oleh Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (PERKIM) cawangan Samarahan di surau Darul Ikhlas Kampung Empila Hulu pada Selasa.
Program berkenaan diadakan bersempena dengan sambutan Nuzul Al-Quran yang dilaksanakan di peringkat kampung Empila yang juga dihadiri oleh ahli-ahli PERKIM dan penduduk kampung.
Datuk Rubiah dalam ucapannya berkata, amalan membaca Al-Quran adalah sangat penting kerana kebanyakan aspek kehidupan seharian harus berpandukan kitab suci Al-Quran selain dituntut oleh agama bagi setiap umat Islam.
“Selain itu, institusi masjid dan surau serta pihak pengurusan dan badan-badan dakwah juga diminta untuk sentiasa mendampingi masyarakat tanpa mengira latar belakang, umur mahupun bangsa.
“Tidak hanya itu, dakwah islam juga harus disampaikan dengan lebih konsisten dan berterusan serta harus disampaikan dengan cara lebih berhikmah bersesuaian dengan perintah Allah Subhanahu Wata’ala di dalam Al-Quran,” katanya lagi.
Turut hadir sama pada program berkenaan adalah Timbalan Pengerusi PERKIM Cawangan Samarahan; Hajah Saftuyah Jaal, ahli-ahli PERKIM dan penduduk Kampung Empila.