ASAJAYA, 27 SEPTEMBER 2022 (SNN): Program Nang Rindok Asajaya yang bermula pada Khamis telah melabuh tirainya pada Ahad dengan mencatatkan penyertaan diluar jangkaan daripada penduduk-penduduk setempat.
Ahli Parlimen Kota Samarahan, Datuk Hajah Rubiah Haji Wang dalam ucapan perasmiannya berkata, beliau sangat teruja melihat keterlibatan warga Asajaya dalam menjayakan program berkenaan yang boleh dijadikan sebagai acara tahunan.
“Alhamdulillah saya melihat suasana yang sangat meriah dengan sambutan di luar jangkaan daripada penduduk Asajaya ini membuktikan bahawa program ini sangat bermakna dan memberi manfaat kepada kita di sini.
“Setelah hampir 3 tahun kita tidak dapat mengadakan aktiviti keramaian sebegini dan hari ini bersesuaian dengan tema kemerdekaan ayuhlah kita bersama-sama mensyukuri nikmat kebebasan yang telah diberikan kepada kita dan gunakanlah ianya dengan sebaik mungkin dengan mengisi pengisian yang ada dengan perkara-perkara yang bermanfaat” katanya ketika hadir menyempurnakan Majlis Penutupan Program Nang Rindok Asajaya di Kompleks Sukan Asajaya pada Ahad.
Datuk Rubiah kemudiannya menyampaikan hadiah kepada para pemenang bagi pertandingan busana patriotik, peraduan tiktok Merdeka dan nyanyian lagu-lagu patriotik ia menjadi sebahagian daripada pengisian program berkenaan.
Turut hadir bersama ialah Timbalan Residen Samarahan, Irwan Bahari; Pegawai Daerah Asajaya, Rais Ahmat; Setiausaha Politik kepada Premier Sarawak, Buang Bolhassan dan Temenggung Bahagian Samarahan Haji Chek Bujang.