SIBU, 07 MAC 2025: Program ‘Ketuk Sahur’ yang dianjurkan setiap kali tiba bulan Ramadan di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Nangka diteruskan lagi tahun ini dengan pendekatan yang lebih inklusif apabila turut melibatkan kediaman penduduk bukan beragama Islam.
Hadir dalam program ini ialah Timbalan Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat I Sarawak merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Nangka, Datuk Dr. Annuar Rapaee bersama 20 peserta lain.
Menurut Datuk Dr. Annuar, penganjuran program ini di kediaman masyarakat bukan Islam mencerminkan keharmonian kaum dan agama yang kukuh di kalangan penduduk Sibu khasnya dan Sarawak amnya.
“Pagi ini menandakan permulaan program ‘Ketuk Sahur’ di kawasan Nangka yang pada dasarnya melibatkan masyarakat beragama Islam tetapi kali ini kita turut beramah mesra dengan komuniti bukan Islam.
“Program ini bertujuan mengedarkan pek makanan kepada golongan yang memerlukan untuk sahur dan telah berjaya dilaksanakan dengan kerjasama JKKK Nangka,” katanya semasa program itu pada Khamis.
Pada sesi awal program ini, Datuk Dr. Annuar dan rombongan telah bersahur di rumah Catherine Ali Puteh, seorang pemimpin masyarakat beragama Kristian di Kampung Nangka.
Beliau turut menyampaikan penghargaan kepada Catherine atas kesudian menyambut kedatangan mereka dan menyediakan makanan untuk sahur.
Sebanyak 250 buah rumah di 10 lokasi yang berada di bawah Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) telah terlibat dalam program ini, menjadikannya antara program tahunan yang berjaya memperkukuhkan perpaduan dalam komuniti.
Program ini dianjurkan oleh Pusat Khidmat DUN Nangka dan diadakan di Kampung Nangka dari jam 4.00 pagi hingga 5.30 pagi-UKAS