SEBUYAU, 09 SEPTEMBER 2024 (SNN): Penganjuran Porgram Jiwa Komuniti Madani yang dianjurkan Jabatan Penerangan Malaysia Sarawak bertujuan bagi menyantuni masyarakat tanpa mengira masa, latar belakang dan kaum.
Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sebuyau, Dato Sri Julaihi Narawi berkata, Program Jiwa Komuniti Madani bagi DUN Sebuyau di RTC Sampat, Sebangan yang berlangsung semalam itu bagi mendekati rakyat serta menyampaikan maklumat berkaitan dasar dan agenda pembangunan yang disediakan oleh kerajaan.
“Saya percaya program yang dilaksanakan JAPEN sejak dahulu adalah program kerajaan untuk terus mendekati rakyat supaya rakyat mengetahui apa yang dilakukan oleh kerajaan sama ada kerajaan persekutuan mahupun kerajaan negeri.
“Dan apa yang lebih penting adalah kita dapat menjaga negara dan negeri kita, seterusnya membangun ke hadapan agar rakyat tidak kira di mana jua berada dapat menikmati pembangunan yang disediakan kerajaan berdasarkan kepada dasar dan agenda pembangunan yang ada pada hari ini,” katanya dalam ucapan semasa hadir pada Program Jiwa Komuniti Madani, semalam.
Beliau dalam masa yang sama menyeru agar rakyat sentiasa bijak dalam menapis sebarang maklumat yang diterima terutama dalam dunia serba teknologi ini yang mudah untuk mendapatkan fakta melalui media sosial tanpa mengira batas.
Sementara itu, Pengarah JAPEN Sarawak Helmy Hamid berkata, Program Jiwa Komuniti Madani Peringkat DUN itu merupakan platform untuk JAPEN menyampaikan maklumat, isu semasa, dasar dan inisiatif kerajaan kepada masyarakat.
“Saya percaya melalui penganjuran program seperti ini dengan pelbagai pengisian aktiviti seperti sesi taklimat berkaitan inisiatif-inisiatif Kerajaan dan Infotainment dari PENTARAMA JAPEN Sarawak dapat menjadi platform untuk menghebahkan maklumat mengenai dasar-dasar, inisiatif dan kempen yang dilaksanakan oleh kerajaan negeri dan persekutuan.
“Ia juga dapat memupuk semangat perpaduan serta kerjasama semua pihak melalui aktiviti riadah yang telah dianjurkan seperti pertandingan memancing dan sukan rakyat,” ujarnya.
Turut hadir sama ialah wakil Pegawai Daerah Sebuyau; Tahir Putih, Pegawai Penerangan Daerah Simunjan; Mohamad Subuh Jamali, Ketua Komuniti Madani Kampung Sampat; Osman Jamil, Ketua Kaum Kampung Sampat Sebangan; Matasan Bujang dan jemputan yang lain.