LIMBANG, 13 MAC 2021 (SNN) : Pelaksanaan Progran Imunisasi Covid-19 sejak 26 Februari lalu di Sarawak terus mendapat sokongan baik daripada pelbagai lapisan masyarakat di negeri ini.
Program imunisasi di Daerah Limbang yang bermula pada 6 hingga 9 Mac lalu di Dewan Suarah Limbang untuk petugas barisan hadapan sudah berjaya dan ianya akan diperluaskan secara berperingkat kepada rakyat biasa mengikut fasa.
Menurut Ketua Kampung Binjai, Bini Tarudin, pemberian vaksin adalah satu langkah yang bagus bagi menghindari diri kita dijangkiti oleh wabak Covid-19 kerana telah diuji keberkesanannya.
“Harapan saya adalah agar golongan warga emas turut diwajibkan menerima vaksin berkenaan kerana kita mahu semua orang dilindungi daripada virus itu, jangan bila sudah terjangkit baru mahu disuntik dengan vaksin.
“Pemberian vaksin ini adalah percuma dari kerajaan jadi kita sebagai rakyat perlu memberi sokongan yang baik terhadap program itu,” katanya kepada media semasa sesi temu bual baru-baru ini.
Disamping itu, Pengurus Besar G dan I Supply, Noor Sabrina Henry turut mengatakan pemberian vaksin ini adalah sangat baik sekaligus dapat memberi kehidupan lebih baik kepada masyarakat khususnya memulihkan semula sektor ekonomi negara. Sebagaimana semasa wabak ini melanda negara, ekonomi negara kita meleset teruk jadi dengan adanya pemberian vaksin ini kita akan dapat menjalankan aktiviti dalam sektor ekonomi seperti normal semula.
Harapan mereka, dengan pemberian vaksin ini kelak diharapkan aktiviti kehidupan seharian masyarakat dapat dikembalikan seperti dahulu lagi lebih-lebih lagi bulan ramadhan akan menjelang dalam masa sebulan sahaja dan kita dapat menyambutnya dengan penuh barakah.-Sumber UKAS.