More
    Home Sarawak Kuching Program Grid Bekalan Air Sarawak kini capai 88 peratus siap-Julaihi

    Program Grid Bekalan Air Sarawak kini capai 88 peratus siap-Julaihi

    KUCHING, 20 NOVEMBER 2024: Program Grid Bekalan Air Sarawak bagi kawasan tumpuan yang melibatkan sebanyak 304 projek kini berada di fasa terakhir yang mana sebanyak 269 projek atau 88 peratus telahpun disiapkan.

    Menteri Utiliti dan Telekomunikasi (MEITD) Sarawak, Dato Sri Julaihi Narawi berkata, daripada jumlah tersebut, sebanyak 27 projek lagi sedang dalam pembinaan, manakala baki lapan projek lagi sedang dalam peringkat pra kontrak dan akan dimulakan pada tahun hadapan.

    “Projek utama yang telah disiapkan adalah Projek Menaik Taraf Loji Rawatan Air di Batu Kitang, daripada 764 juta liter sehari (JLH) kepada 868 JLH dengan kos RM107.2 juta.

    “Projek lain yang telah siap adalah Projek Pemasangan Saluran Paip Air Baharu dari Bulat Junction ke Tangki Simpanan Temadak dengan kos RM26.6 juta, Projek Membina Loji Rawatan Air Baharu Trusan, Lawas berkapasiti 20 JLH dengan kos RM33.3 juta, Projek Baik Pulih Sistem Bekalan Air di Matu dan Igan, Mukah dengan kos RM65.3 juta serta Projek Bekalan Air Kawasan Sare, Sarikei dengan kos RM9.9 juta

    “Seterusnya, Projek Bekalan Air yang merangkumi kerja-kerja pemasangan paip, pembinaan tangki air aras tinggi dan stesen pam penggalak dari Kota Samarahan hingga ke Sebuyau termasuk Tambirat, Moyan, Asajaya, Semera, Sadong Jaya, Sungai Buloh, Sungai Ladong, Sebangan dan Tebelu dengan kos sebanyak RM370.3 juta,” jelasnya semasa menggulung perbahasan bagi kementeriannya dalam Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak Ke-19 pada Isnin.

    Dato Sri Julaihi (tengah) bersama dua timbalannya merakam gambar bersama dokumen ucapan perbahasan kementeriannya.

    Sementara itu, ADUN Sebuyau itu turut memaklumkan senarai projek utama yang sedang dalam pembinaan adalah termasuk Projek Menaik Taraf Loji Rawatan Air Lubau, Betong daripada 30 JLH kepada 60 JLH dengan kos projek berjumlah RM168.5 juta, Projek Bekalan Air Kawasan Tinjar Fasa 2 (Pakej 1 dan Pakej 2) dengan kos RM74 juta, Projek Bekalan Air di sepanjang Jalan Bakun dari Labang ke Tubau, Bintulu (Pakej 1 dan Pakej 2) dengan kos projek RM151.6 juta serta Projek Pembangunan Sumber Bekalan Air Miri (Fasa 2) dengan kos RM263.9 juta.

    Jelasnya lagi, ini termasuk Projek Bekalan Air dari Loji Rawatan Air Salim ke Kanowit dengan kos RM81.1 juta serta Projek Bekalan Air ke Ulu Rimbas dan Penambahbaikan Bekalan Air ke Spaoh dengan kos projek RM26.6 juta.

    “Projek yang dijangka siap pada penghujung tahun ini pula adalah melibatkan Naik Taraf Loji Rawatan Air Bayong, Sarikei daripada 70 JLH kepada 100 JLH dengan kos berjumlah RM68.6 juta, Penyambungan Air Bersih ke Sungai Teniku, Miri dengan kos RM6.9 juta dan Sistem Bekalan Air Pulau Bruit berjumlah RM84.4 juta.

    “Kerajaan Sarawak telah memperuntukkan RM4 bilion di bawah pembiayaan alternatif sejak 2018 lagi bagi melaksanakan program tersebut dan kini liputan bekalan air di seluruh Sarawak telah mencapai 85.4 peratus dan liputan di luar bandar pada kadar 70.5 peratus,” ujar beliau.

    Leave A Reply

    Please enter your comment!
    Please enter your name here

    Must Read

    Pembinaan lapangan terbang baharu di Kuching akan menjadi nilai tambah daya...

    0
    KUCHING, 25 DISEMBER 2024: Lapangan terbang antarabangsa baharu yang dicadangkan di Kuching akan menjadi nilai tambah dalam meningkatkan daya tarikan Sarawak untuk perniagaan, pelaburan...