KUCHING, 21 FEBRUARI 2923 (SNN): Kerajaan Sarawak melalui Kementerian Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak (MUT) mempunyai agenda jangka panjang untuk memastikan seluruh Sarawak mendapat akses bekalan air bersih.
Menterinya Datuk Julaihi Narawi berkata, bagi merealisasikan agenda tersebut kerajaan negeri bersetuju untuk memperkenalkan “Program Grid Bekalan Air Sarawak” yang bertujuan menyelesaikan isu bekalan air secara berkesan dan menyeluruh menjelan tahun 2030 dan tahun-tahun seterusnya.
“Program ini merupakan satu perancangan jangka panjang yang holistik dan menyeluruh bertujuan untuk menambahbaik sistem bekalan air sedia ada di Sarawak dan ianya akan dilakukan dengan menghubungjalinkan sumber bekalan air mentah dan air terawatdari setiap bahagian ke bahagian yang lain di seluruh Sarawak.
“Sistem grid air Sarawak ini telah mula dilaksanakan secara berperingkat-peringkat.Contohnya ialah sistem grid air di bahagian selatan Sarawak seperti di Bahagian Kuching dan Bahagian Samarahan.Bekalan air dari loji Batu Kitang Kuching telah dihantar melaui sistem paip agihan di Entinggan Bhg Samarahan untuk disambung ke tangki dan stesen pengalak di kpg Baru Samarahan untuk disambung terus ke tangki/stesen pengalak dan paip agihan yang sudah siap sekarang ke kawasan Asajaya,Sadong Jaya dan sebahagian dari kawasan Sebuyau@Sebangan dan Simunjan.
Beliau berkata sedemikian ketika berucap pada Majlis Malam Apresiasi Jabatan Bekalan Air Luar Bandar (JBALB) Sarawak di sebuah hotel terkemuka di Kuching baru-baru ini.
Tambah beliau, bekalan air mentah akan dipam dari sungai Baram melalui sungai Karap ke stesen penggalak@tangki pengumpulan (collection centre ) di Bakong sebelum dihantar melaui paip bersaiz 1.2 meter ke sungai Liku dan diproses di Loji Air Lambir Miri yang akan juga membentuk sebahagian sistem grid air di utara Sarawak.
“Grid yang sebegini perlu kita sambung ke bahagian lain di Sarawak pada masa hadapan. Contoh lain ialah sistem bekalan air di Tg Manis Sibu/Mukah (dijangka beroperasi sepenuhnya suku ketiga tahun ini) dan projek Bekalan Air Kanowit fasa 2 yang dibina sekarang.
“Sistem grid ini amat penting untuk mempastikan sumber bekalan air mentah dan air terawat dan bersih dapat dikongsi bersama antara semua bahagian dan kawasan di seluruh Sarawak melalui jaringan paip dan jaringan paip yang bersambung di seluruh Sarawak apabila siap kelak,” ujarnya lagi.
Jelas beliau, perancangan dan perlaksanaan sistem grid ini melibatkan beberapa fasa yang sudah pun bermula dan sedang dilaksanakan sekarang sehingga tahun 2030 ke tahun 2040 dan tahun 2070 bagi memenuhi permintaan bekalan air yang semakin meningkat.