More
    Home Sarawak Bintulu PRK DUN Jepak: Bekas Pengarah AADK Sarawak diumum sebagai calon bertanding mewakili...

    PRK DUN Jepak: Bekas Pengarah AADK Sarawak diumum sebagai calon bertanding mewakili GPS

    BINTULU, 19 OKTOBER 2023 (SNN): Bekas Pengarah Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) Sarawak, Iskandar Turkee diumumkan sebagai calon Gabungan Parti Sarawak (GPS) untuk Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Jepak.

    Pengerusi GPS yang juga Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg mengumumkan calon yang bakal bertanding mewakili GPS itu semasa majlis pengumuman calon GPS di sebuah hotel pada petang Rabu.

    Datuk Patinggi Abang Zohari yang juga Presiden Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Sarawak berkata, Iskandar yang berusia 54 tahun dipilih selepas melepasi saringan yang dilakukan oleh agensi seperti Polis Diraja Malaysia (PDRM), Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) serta Jabatan Insolvensi Malaysia.

    “Sebelum ini beberapa nama calon termasuk Iskandar telah diserahkan untuk semakan pihak berwajib iaitu PDRM, SPRM serta abatan Insolvensi Malaysia,” katanya.

    Premier Sarawak menambah, bagi mereka yang tidak terpilih sebagai calon GPS akan membantu jentera parti bagi membantu memastikan kemenangan berpihak kepada GPS.

    “Kita mahu legasi yang ditinggalkan oleh Allahyarham Datuk Talib Zulpilip diteruskan dengan membawa kelangsungan di kawasan Jepak khasnya menerusi GPS,” jelasnya.

    Premier Sarawak menyerahkan watikah penamaan calon kepada Iskandar Turkee-Foto UKAS

    Iskandar memiliki kelulusan Sarjana Pembangunan Sumber Manusia dari Universiti Putra Malaysia (UPM) dan seorang yang sangat aktif dalam Persatuan Bukan Kerajaan (NGO) seperti Aktivis Pekerja Sosial Sarawak selain merupakan anak jati kelahiran Bintulu dan itu memberi kelebihan kepada beliau untuk berkhidmat kepada rakyat khususnya di kawasan Jepak.

    Beliau juga merupakan Ahli Panel Majlis Sosial Sarawak, Majlis Perpaduan Sarawak, Ahli Jawatankuasa Induk One Stop Committee Menangani Isu Dadah Sarawak dan Ahli Jawatankuasa Induk PEMADAM Sarawak.

    Sebelum ini, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari penamaan calon bagi PRK DUN Jepak pada 21 Oktober depan.

    Tarih undi awal pula pada 31 Oktober ini, manakala hari pengundian akan berlangsung pada 4 November depan.

    PRK DUN Jepak diadakan susulan penyandangnya, Datuk Talib meninggal dunia pada 15 September lalu.

    Turut hadir semasa majlis pengumuman calon itu ialah Timbalan Presiden PBB yang juga Timbalan Premier, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan, Ketua Wanita PBB Dato Sri Fatimah Abdullah serta barisan kepimpinan tertinggi parti komponen GPS yang lain.

    Leave A Reply

    Please enter your comment!
    Please enter your name here

    Must Read

    Pembinaan lapangan terbang baharu di Kuching akan menjadi nilai tambah daya...

    0
    KUCHING, 25 DISEMBER 2024: Lapangan terbang antarabangsa baharu yang dicadangkan di Kuching akan menjadi nilai tambah dalam meningkatkan daya tarikan Sarawak untuk perniagaan, pelaburan...