BINTULU, 18 JUN 2021 (SNN) : Press Metal Bintulu telah dipilih menjadi Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Industri yang pertama di kawasan industri Samalaju, Bintulu.
Ketua Menteri Sarawak, Datuk Patinggi Abang Abdul Rahman Zohari Tun Abang Openg memaklumkan, kemudahan PPVIN itu kelak juga akan digunakan oleh syarikat-syarikat lain di Samalaju seperti OM Material Holding, OCI Malaysia, Sakura Ferroalloys, Pertama Ferroalloys dan syarikat lain di sekitarnya bagi membolehkan program pemberian vaksin dipercepatkan.
Beliau berpendapat, oleh kerana peningkatan kes positif Covid-19 melibatkan kawasan tempat kerja, PPVIN juga akan diwujudkan di kawasan Kidurong yang mana di kawasan itu kebanyakannya adalah syarikat minyak dan gas serta kontraktor.
“Sasaran kita adalah 80% daripada penduduk di Bintulu ini telah divaksinkan sehingga awal Ogos ini bagi memastikan bilangan kes positif dapat dikurangkan. Oleh itu, kita ingin mempercepatkan proses vaksinasi penduduk di sekitar Bintulu.
“Pada ketika ini kapasiti vaksin per hari adalah sebanyak 3,000 dos tetapi kita tingkatkan angka tersebut sehingga 5,000 dos sehari dalam masa terdekat,” kata beliau semasa sidang media ketika lawatan beliau di Press Metal Bintulu, semalam.
Dalam pada itu, pada sesi taklimat lain Pegawai Kesihatan Bahahian Bintuku, Dr. Melvin Chong memaklumkan sebanyak 201,442 individu di Bahagian Bintulu layak untuk menerima vaksin termasuklah kawasan Tatau, Sebauh dan Bintulu.
Turut hadir sama timbalan-timbalan Ketua Menteri, Datuk Amar Douglas Uggah Embas serta Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan, Menteri Utilili; Dato Sri Dr. Stephen Rundi Utom, Menteri Di Jabatan Ketua Menteri Sarawak (Integriti & Ombudsman); Datuk Talib Zulpilip, Ahli Parlimen Bintulu; Dato Seri Tiong King Sing dan Setiausaha Kerajaan Negeri Sarawak; Datuk Amar Jaul Samion.