KUCHING, 06 JANUARI 2024: Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg umum kadar pengagihan dividen interim Amanah Saham Sarawak (ASSAR) bagi tahun kewangan berakhir 30 Jun 2024 sebanyak 2.5 sen seunit.
Katanya, pengagihan julung kali pasca-penstrukturan semula ASSAR ini adalah berdasarkan perolehan bagi tempoh enam bulan pertama tahun kewangan semasa, dan melibatkan jumlah pengagihan sebanyak RM11.71 juta kepada 57,613 pelabur, yang dikira berdasarkan baki pegangan unit pada 31 Disember 2023.
Menurutnya lagi, hal ini amat memberangsangkan memandangkan Tabung ASSAR pasca-penstrukturan hanya siap dilabur sepenuhnya pada Julai 2023 untuk mencapai perumpukan aset yang optimal selaras dengan mandat dan strategi pelaburan baharu ASSAR.
“Di samping pengagihan dividen yang cukup kompetitif ini, ASSAR merupakan satu instrumen pelaburan atau simpanan yang selamat dan berisiko rendah dengan adanya mekanisme jaminan harga minima RM1.00 seunit, yang merupakan ciri utama ASSAR semenjak tahun 1998.
“Mekanisme jaminan harga minima tersebut akan terus memainkan peranan untuk mengurangkan sebarang impak kemelesetan ekonomi serta kejatuhan teruk pasaran saham terhadap modal para pelabur ASSAR.
“Ini adalah kerana dengan adanya ciri tersebut membolehkan unit ASSAR dijual balik pada harga minima RM1.00 seunit sepanjang tempoh jaminan dalam apa jua keadaan ekonomi mahupun pasaran saham dan dengan demikian melindungi para pelabur ASSAR daripada mengalami kerugian besar ke atas modal mereka.
“Ia selaras dengan matlamat sosioekonomi penubuhan ASSAR sebagai satu skim simpanan alternatif jangka panjang yang berisiko rendah serta selamat,”jelasnya ketika mengumumkan perkara tersebut dalam satu majlis yang diadakan di HIKMAH Exchange pada Jumaat.
Menjelas lanjut, Premier Sarawak memberitahu, Nilai Aset Bersih (NAB) seunit ASSAR telah meningkat secara konsisten kepada RM1.0854 pada 31 Disember 2023, iaitu pertumbuhan sebanyak 8.54 peratus sejak penstrukturannya pada 21 Oktober 2022.
Sementara itu, jumlah pendapatan kasar yang dijana bagi tempoh enam bulan pertama tahun kewangan semasa berakhir 30 Jun 2024 pula ujarnya, ialah RM15.59 juta, yang mana 49 peratus atau RM7.59 juta merupakan pendapatan faedah sekuriti berpendapatan tetap, 33 peratus atau RM5.14 juta merupakan keuntungan daripada penjualan ekuiti/saham manakala selebihnya iaitu 18 peratus atau RM2.86 juta merupakan pendapatan dividen daripada pegangan ekuiti, pendapatan faedah daripada instrumen pasaran wang dan keuntungan modal daripada penjualan sekuriti pendapatan tetap.
“Setelah ditolak perbelanjaan, pendapatan bersih Tabung ASSAR untuk enam bulan tersebut ialah sebanyak RM13.29 juta.
“Strategi pelaburan baharu ASSAR yang memperuntukkan sekurang-kurangya 70 peratus pelaburan dalam sekuriti berpendapatan tetap telah berjaya mengurangkan ‘volatility’ daripada pasaran ekuiti yang kekal mencabar.
“Ini menunjukkan betapa pentingnya strategi kepelbagaian dalam mengurus risiko portfolio untuk menjana pulangan mampan dan kompetitif,”tambahnya lagi.
Sehubungan itu, Datuk Patinggi Abang Zohari menyatakan keyakinannya bahawa pihak pengurusan ASSAR akan melakukan yang terbaik untuk meneruskan kejayaan yang telah dicapai dalam usaha membina portfolio yang benar-benar berdaya tahan dengan mengoptimumkan gabungan kelas aset yang berbeza.
“Di kesempatan ini, saya ingin menggesa para pelabur agar terus memberikan sokongan dan melabur di dalam ASSAR.
“Sokongan berterusan anda adalah penting untuk memastikan kemampanan jangka panjang ASSAR dan akan membantu dalam meningkatkan lagi prestasinya,”tegas beliau.
Majlis ringkas itu turut dihadiri Timbalan Premier Sarawak merangkap Menteri Kewangan dan Ekonomi Baru Kedua; Datuk Amar Douglas Uggah Embas, Setiausaha Kerajaan; Sarawak Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki, Peguam Besar Sarawak; Datu Saferi Ali, Timbalan Setiausaha Kewangan Sarawak; Datu Hasmawati Sapawi serta dif-dif kenamaan yang lain.-UKAS