KUCHING,19 MEI 2022 (SNN) : Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg menyokong cadangan untuk mengadakan konvensyen media pada tahun ini bagi tujuan menambah baik etika kewartawanan.
Jelasnya, jika ada etika dalam melaksanakan tugas sebagai wartawan dalam mentransformasikan persepsi dan juga pandangan rakyat, maka hendaklah mempunyai kualiti yang tertentu.
“Kita mungkin boleh menggubalkan satu cara etika kerana mesti ada etika tertentu dalam kewartawanan.
“Kalau dalam bidang ekonomi, mungkin ada golongan yang pakar dalam ekonomi kerana kami juga perlu maklum balas dari sudut ekonomi, kalau dari sudut sosial, hal masyarakat serta politik pula, cari wartawan yang pakar dalam bidang tersebut,” katanya semasa berucap dalam Majlis Ramah Tamah Warga Media anjuran Unit Komunikasi dan Penerangan Sarawak (UKAS) di Hotel Pullman pada Rabu.
Sehubungan itu, beliau menzahirkan ucapan terima kasih kepada pihak media dan juga agensi-agensi kerajaan yang bekerjasama dan berkorban di lapangan dalam menghadapi pandemik COVID-19.
Terdahulu, Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Hal Ehwal Korporat, Penerangan dan UKAS), Datuk Abdullah Saidol dalam ucapannya berkata warga media dapat berfungsi dalam pelbagai platform serta memainkan peranan sebagai ‘Jambatan Dua-Hala’ antara kepimpinan atau pentadbiran sesebuah kerajaan dan masyarakat.
Tambahnya, warga media juga memainkan peranan sebagai medium atau agen yang mampu merapatkan jurang persefahaman antara masyarakat dan kepimpinan negeri serta agensi-agensi kerajaan.
“Dengan persetujuan Premier Sarawak, kita bercadang untuk mengadakan satu Konvensyen Media samada berskala sederhana atau antarabangsa diadakan di bumi Sarawak untuk mengajak warga media dari pelbagai platform bagi merumus secara membina dan membentuk kerangka baru amalan dan budaya media yang mungkin menjadi salah satu komponen penting dalam struktur ekonomi digital yang besar,” katanya.
Turut hadir Timbalan-Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas, Datuk Sri Dr. Sim Kui Hian serta dif-dif kenamaan yang lain.-UKAS.