MELBOURNE, 28 OGOS 2024: Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg memulakan lawatan kerja rasminya di Australia dengan melawat dua makmal penyelidikan berteknologi tinggi di Universiti Teknologi Swinburne, Kampus Hawthorn pada Selasa.
Lawatan beliau dimulakan dengan melawat Factory of the Future dan Digital Innovation Lab di mana beliau diberikan taklimat mengenai operasi di makmal penyelidikan tersebut oleh Pengarahnya, Profesor Prem Prakash Jayaraman.
Beliau bersama deligasi turut meluangkan masa kira-kira 40 minit menyaksikan demonstrasi sistem pembuatan automatik melalui gabungan robotik dan kecerdasan buatan (AI), aplikasi industri 4.0, inovasi dan penyelidikan serta data analitik.
Aban Johari kemudiannya, melawat Hab Peralihan Tenaga Siemens Swinburne yang memfokuskan kajian terhadap pelbagai bidang teknologi seperti tenaga boleh diperbaharui, sistem penyimpanan tenaga, penangkapan karbon, kenderaan elektrik, sistem pengurusan tenaga mikrogrid komuniti, tenaga elektrik untuk tenaga diperbaharui dan pelbagai lagi penyelesaian teknologi.
Dalam lawatan kira-kira sejam itu, beliau juga diberikan taklimat oleh Pengarahnya, Profesor Mehdi Seyedmahmoudian mengenai beberapa kajian yang dilakukan di makmal tersebut seperti konsep kenderaan pengecasan tanpa wayar, perkongsian dan pemindahan tenaga boleh diperbaharui dan banyak lagi.
Datuk Patinggi Abang Zohari bersama delegasi Kerajaan Sarawak kemudiannya mengadakan perbincangan secara tertutup kira-kira sejam bersama Naib Cancelor Universiti Teknologi Swinburne Profesor Pascale Quester dan pengurusan tertinggi universiti tersebut.
Pada sebelah petang pula, Premier Sarawak bertolak ke makmal ujian (Pembuatan Termaju) Industri Kebangsaan 4.0 Pertubuhan Penyelidikan Saintifik dan Perindustrian Komanwel (CSIRO) di Clayton yang terletak kira-kira 40 minit perjalanan dari kampus induk Swinburne.
Beliau meluangkan masa kira-kira sejam mendengar perkongsian dari Pengurus Fasiliti Jimmy Thomas dan Profesor Suresh Palanisamy mengenai proses pembuatan komposit gentian karbon di makmal tersebut.
Makmal ujian canggih itu menyediakan penyelesaian kejuruteraan dan pembuatan yang disokong sepenuhnya secara digital untuk bahagian, proses dan keseluruhan sistem untuk automotif, aeroangkasa, pengeluaran dan banyak lagi.
Dalam pada itu, Premier Sarawak dijadual menyampaikan ucaptama ‘The Powerhouse of Green Economy in ASEAN’ pada Forum Perniagaan ASEAN Australia 2024 di Pusat Persidangan Antarabangsa (ICC) Sydney pada Khamis.
Mengiringi Premier Sarawak ialah Setiausaha Kerajaan Sarawak; Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki, Timbalan Menteri Tenaga dan Kelestarian Alam Sekitar; Datuk Dr. Hazland Abg Hipni, Setiausaha Kewangan Sarawak; Dato Sri Dr Wan Lizozman Wan Omar, Pengerusi Lembaga Pengarah Universiti Swinburne Sarawak; Datuk Amar Jaul Samion, Ketua Setiausaha Politik Kepada Premier Sarawak; Fazzrudin Abdul Rahman, Pengarah Yayasan Sarawak; Mersal Abang Rosli dan delegasi Kerajaan Sarawak yang lain.-UKAS