TOKYO, 16 DISEMBER 2024: Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg selamat tiba di Tokyo, Jepun dalam rangka lawatan kerja rasmi selama lima hari.
Beliau yang mengetuai rombongan Kerajaan Sarawak dengan menaiki pesawat khas tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Haneda, Tokyo pada jam 6.15 petang semalam waktu tempatan.
Menyambut ketibaan beliau di hotel penginapan ialah Duta Besar Malaysia ke Jepun; Dato’ Shahril Effendi Abd Ghany, Timbalan-Timbalan Premier Sarawak; Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan dan Datuk Amar Dr Sim Kui Hian, Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak; Dato Sri Julaihi Narawi, Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa, Industri dan Pelaburan Sarawak; Datuk Dr Malcolm Mussen Lamoh dan Timbalan Menteri Tenaga dan Kelestarian Alam Sekitar; Datuk Dr Hazland Abang Hipni.
Turut menyambut ketibaan Premier Sarawak ialah Peguam Besar Sarawak, Dato Sri Saferi Ali, Setiausaha Kewangan Sarawak, Dato Sri Dr Wan Lizozman Wan Omar, Timbalan Setiausaha Kerajaan Sarawak (Perancangan Ekonomi dan Pembangunan), Dato Sri Dr Muhammad Abdullah Zaidel, Ketua Setiausaha Politik kepada Premier Sarawak, Dato Fazzrudin Abdul Rahman serta pegawai-pegawai kanan Kerajaan Sarawak.
Pada hari pertama lawatan rasmi beliau, Premier Sarawak dijangka akan mengadakan lawatan kerja ke ENEOS Central Technical Research Laboratory yang merupakan sebuah syarikat yang telah membekalkan 20 peratus daripada tenaga utama Jepun.
Syarikat ENEOS berhasrat untuk menjadikan tenaga generasi seterusnya seperti hidrogen, bahan api sintetik, dan biofuel sebagai ‘norma masa depan’ bagi mencapai masyarakat neutral karbon.
Beliau kemudiannya dijangka menghadiri beberapa mesyuarat bersama ENEOS Corporation and JX Nippon Oil & Gas Exploration Corporation, Japan Bank for International Cooperation (JBIC), Sumitomo Corporation, Japan Organization for Metals and Energy Security (JOGMEC) dan Kementerian Ekonomi, Perdagangan dan Industri (METI), Jepun.
Paa hari kedua, lawatan kerja rasmi Premier Sarawak diteruskan dengan mesyuarat bersama pihak Boeing Japan berhubung Bahan Api Penerbangan Mampan (SAF) serta pembangunan dan penyelidikan berkaitan.
Seterusnya beliau bersama rombongan Kerajaan Sarawak melakukan mesyuarat bersama HighChem Co. Ltd, Integrated Design & Engineering Holdings Co.Ltd. (ID&E), Mitsubishi Corporation, Mitsui OSK Line sebelum menghadiri Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) di antara Bintulu Development Authority dan Pertama Ferroalloy/ Asia Minerals.
Memasuki hari ketiga lawatan kerja rasmi, Premier Sarawak bersama rombongan akan ke Tokyo Gas Yokohama Techno Station yang merupakan sebuah fasiliti model untuk pengeluaran dan penggunaan tempatan hidrogen dan e-metana, serta model peredaran CO2, dan menyebarkan ke seluruh Jepun.
Pada hari keempat, Premier Sarawak serta rombongan akan melakukan lawatan kerja ke Mitsubishi Power Takasago Plant.
Taman hidrogen tersebut merupakan sebuah fasiliti canggih yang didedikasikan untuk mengesahkan teknologi hidrogen bagi membantu proses nyahkarbonisasi global dan ia merupakan fasiliti pertama di dunia yang merangkumi keseluruhan rantaian hidrogen: pengeluaran, penyimpanan, dan penggunaan.
Taman hidrogen ini juga menempatkan sistem-sistem termaju, termasuk elektrolizer berskala besar dan teknologi generasi seterusnya seperti elektrolisis oksida pepejal dan pengeluaran hidrogen turquoise, yang menghasilkan hidrogen tanpa pelepasan CO₂.
Inovasi-inovasi ini diuji dengan turbin yang dijana oleh hidrogen, memajukan daya saing komersial hidrogen sebagai sumber tenaga yang lestari.
Premier Sarawak dijangka mengakhiri lawatan kerja rasmi pada 20 Disember ini sebelum berangkat pulang ke tanah air-UKAS