KUCHING, 28 MEI 2022 (SNN) : Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg memberi penghormatan terakhir kepada isteri kepada Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang), Dato Sri Dr. Wan Junaidi Tuanku Jaafar, iaitu Allahyarhamah Datin Sri Feona Norjanah Wan Junaidi di kediamannya di Jalan Green di sini pada pagi tadi.
Ketibaan Premier Sarawak telah disambut oleh Dato Sri Wan Junaidi yang juga Ahli Parlimen Santubong sebelum berkesempatan menunaikan solat jenazah pada jam 9 pagi tadi di kediamannya di Jalan Green sebelum dibawa ke Tanah Perkuburan Islam Samariang pada jam 10 pagi untuk dikebumikan.
Terdahulu, Allahyarhamah disahkan meninggal dunia di Borneo Medical Centre, Kuching, pada jam 6 petang Jumaat akibat pendarahan dalaman.
Allahyarhamah mendirikan rumah tangga dengan Wan Junaidi pada 1972 dan dikurniakan tiga cahaya mata iaitu Embok Fariah, 49, Sharifah Nong-Jasima, 38 dan Sharifah Nuril Barieyah, 29.
Turut hadir bersama Premier Sarawak bagi memberi penghormatan terakhir dan pengebumian Allahyarhamah Feona Sim ialah Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan; Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah, Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri Sarawak (Transformasi Sosio Ekonomi); Dato Sri Mohamad Abu Bakar Marzuki dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Demak Laut; Dr Hazland Abang Hipni.