SEBUYAU, 12 DISEMBER 2021 (SNN) : Parti Keadilan Rakyat (PKR) digesa untuk tidak membawa budaya politik Semenanjung ke Sarawak malah memberikan peluang kepada calon mereka bertanding dalam Pilihan Raya Negeri ke-12 (PRN-12).
Calon kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sebuyau, Datuk Julaihi Narawi berkata, ia jelas kerana budaya parti dari Semenanjung sudah tidak relevan lagi untuk bertapak di negeri ini.
“Kita sudah melihat apa yang dilakukan oleh pemimpin di Semenanjung dan budaya di sana (Semenanjung) tidak perlu dibawa ke sini. Tinggalkan Sarawak untuk kami tadbir sendiri, tidak perlu Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail nak merayu-rayu untuk berkempen di Sarawak sebab kita sudah tahu bagaimana budaya PKR, DAP, AMANAH,” katanya ketika ditemui pemberita di Dewan Serbaguna Sebuyau.
Menurutnya, PKR yang berakar umbi di Semenanjung tidak diperlukan untuk mentadbir Sarawak melainkan pemimpin yang benar-benar memahami Sarawak.
Mengulas mengenai calon tempatan ditaruh di kerusi PKR, Julaihi menegaskan, calon tempatan hanyalah wakil daripada PKR yang sememangnya berakar umbi di Semenanjung. Mereka (PKR) bertapak di Semenanjung sedangkan parti kita berpangkalan berakar umbi di Sarawak. Kita cukup faham kerana kita (Gabungan Parti Sarawak) mempunyai pengalaman yang cukup untuk mentadbir dan uruskan Sarawak.
Terdahulu, Datuk Julaihi hadir sama dalam Majlis Penangguhan “MINTRED Skill Programme” yang dianjurkan oleh Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Terminal Perindustrian dan Pembangunan Usahawan yang dirasmikan oleh Timbalan Ketua Menteri merangkap Menteri MINTRED Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan di Dewan Pembangunan, Sebuyau.
Jelas beliau, progam berkenaan amat penting dalam membantu para usahawan di kawasan Sebuyau untuk mempelajari kaedah terkini bagi memasarkan produk perniagaan mereka melalui platform teknologi digital. Mereka turut didedahkan dengan trend pembelian pengguna yang berubah-rubah yang mana lebih gemar memberi secara atas talian sejajar dengan kemajuan teknologi dan lebih mudah membandingkan harga barangan.
Turut hadir memeriahkan program Speaker Dewan Undangan Negeri Sarawak; YB Datuk Amar Tan Sri Mohammad Asfia Awang Nassar dan YBhg Tuan Haji Brahim Haji Lumpu; Residen Bahagian Samarahan.