KUCHING, 21 APRIL 2025: Timbalan Menteri Utiliti (Sarawak Energy Berhad dan PETROS), Dato Ibrahim Baki, merakamkan penghargaan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim atas pengiktirafan yang diberikan kepada Petroleum Sarawak Berhad (PETROS) sebagai pengagregat gas tunggal di Sarawak.
Menurut beliau, pengiktirafan tersebut telah ditegaskan semula oleh Datuk Seri Anwar semasa lawatan rasmi beliau ke Sarawak pada Sabtu lepas.
“Alhamdulillah, Perdana Menteri pada Sabtu lalu sekali lagi mengumumkan bahawa beliau mengiktiraf Sarawak, melalui PETROS, sebagai pengagregat gas dan pengiktirafan ini amat bermakna bagi kita.
“Ini bermaksud kita yang akan mengurus pengagihan dan penjualan gas, dan ini akan menyumbang kepada peningkatan hasil daripada sektor gas negeri dan kita berterima kasih kepada Perdana Menteri atas pengiktirafan ini,” katanya ketika merasmikan Majlis Ramah Tamah Aidilfitri Zon 2 PBB Satok yang berlangsung di Dewan Datu Merpati Jepang, SK Merpati Jepang, pada Ahad.
Dalam pada itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Satok itu juga turut memaklumkan bahawa Perdana Menteri menyatakan sokongan terhadap pelaksanaan Pelan Hala Tuju Gas Sarawak yang dirangka oleh Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg.
Pelan tersebut menurut beliau akan memacu pembangunan sektor gas khususnya di Wilayah Barat Sarawak termasuk Kuching.
“Perdana Menteri dalam mesyuarat pada hari yang sama, menyatakan sokongan beliau terhadap pelan hala tuju tersebut yang dijangka akan menarik pelaburan beratus bilion ringgit dan mewujudkan peluang pekerjaan kepada ribuan rakyat Sarawak.
“Ini akan menjana hasil kepada Sarawak serta membuka peluang kepada perniagaan dan usahawan tempatan kita,” katanya lagi.
Pengiktirafan PETROS sebagai pengagregat gas serta sokongan terhadap pelan pembangunan gas Sarawak dijangka memberi impak besar kepada pertumbuhan ekonomi negeri, sekali gus memperkukuh kedudukan Sarawak sebagai peneraju dalam sektor tenaga dan sumber asli di Malaysia.
Hadir sama, Setiausaha Politik Kepada Timbalan Perdana Menteri; Ir Irwan Zulkarnain Muhammad Hasbie, Setiausaha Politik Kepada Premier Sarawak; Abdul Samat Gany, Ketua Ranting Kampung No 5; Abang Kamarulzaman Drasid dan Ketua Ranting Kampung No 6; Shah Iszhan Isnin-UKAS