KUCHING, 24 JULAI 2021 (SNN) : Pihak Hospital Umum Sarawak (HUS) mengumumkan penukaran pintu masuk utama hospital dari Lobi A Klinik Pakar ke Lobi Utama melalui Pintu Laluan Kecemasan bersebelahan Pusat Rawatan Harian (New Day Care Centre) berkuatkuasa 19 Julai yang lalu.
Langkah ini diambil bagi memastikan pesakit dan pengunjung yang datang ke hospital dalam keadaan selesa dan tidak berlakunya kesesakan perjalanan kenderaan seperti sebelum ini sering berlaku di Pintu A Klinik Pakar HUS. Disamping itu, pihak HUS turut mengumumkan pembukaan tempat parkir kereta baharu di kawasan hospital bagi mengatasi masalah kekurangan parkir sebelum ini.
Oleh yang demikian, pesakit dan pengunjung diminta untuk menggunakan Pintu Laluan Kecemasan sebagai kawasan ‘Drop Off Point’ untuk ke lobi utama HUS, Klinik Pakar, dan Pusat Rawatan Harian bagi mengurangkan kesesakan manakala bagi yang selesai menjalankan rawatan atau urusan di HUS dikehendaki menggunakan Lobi A Klinik Pakar sebagai ‘Pick Up Point’.
Pihak HUS dalam satu kenyataan turut berbesar hati agar semua pengunjung dan pesakit untuk sentiasa mengamalkan penjarakan sosiak serta mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) ketika menunggu giliran mendapatkan rawatan bagi memastikan tiada penularan wabak Covid-19 berlaku di kawasan HUS.