KUCHING, 28 OGOS 2021 (SNN) : Peluang Malaysia untuk mengutip pingat pertama tampak cerah apabila jaguh powerlifting negara, Bonnie Bunyau Gustin yang turun memperagakan aksinya dalam kategori lelaki 72 kilogram (kg) dijadual bermula 11 pagi tadi waktu tempatan (10 pagi waktu Malaysia) di Tokyo International Forum berjaya merangkul pingat emas di Temasya Paralimpik Tokyo 2020 itu.
Atlet berusia 22 tahun dari Sarawak itu dianggap sebagai pencabar utama pingat untuk acara itu selepas memecah rekod dunia pada Piala Dunia Powerlifting Fazza Dubai ke-11 di Emiriah Arab Bersatu (UAE) Jun lepas.
Beliau melakukan angkatan bebanan 230kg, sekali gus memadamkan rekod dipegang atlet Iran Roohallah Rostami dengan bebanan seberat 229kg di Sukan Para Asia Jakarta, Indonesia pada 2018.
Selain itu, Bonnie yang membuat penampilan pertamanya di pentas Paralimpik juga menjuarai pertandingan di UAE selain muncul juara Kejohanan Piala Dunia Powerlifting Para Dunia 2021 di Bangkok, Meim lepas.
Sementara itu, saingan hari ketiga temasya berprestij di Jepun menyaksikan wakil atlet negara turut menampilkan prestasi memberangsangkan dalam acara disertai masing-masing semalam.
Dalam pusingan penentuan ranking acara memanah, juara dunia 2019, S. Suresh yang beraksi bagi acara recurve lelaki terbuka mengumpul 579 mata untuk mengasatasi rekod musim terbaiknya sebelum ini iaitu 557 mata di sebuah kejohanan di Republik Czech, baru-baru ini.
Suresh menamatkan saingan di tangga ke-28 daripada 31 pemanah secara keseluruhan dan dijangka membuat perhitungan pada pusingan pertama dengan pemanah dari Jawatankuasa Paralimpik Rusia Bato Tsydendorzhiev, Jumaat depan (3 Sept).
Seorang lagi wakil negara, Wiro Julin yang bersaing dalam acara compound lelaki terbuka mencatat 673 mata bagi memadam rekod sebelum ini dengan 646 mata juga dalam kejohanan sama di Republik Czech.
Menamatkan cabaran di tangga ke-26 daripada 36 peserta, pemanah berusia 26 tahun yang mendapat ‘bye’ di pusingan pertama akan berentap dengan rakan senegara Bato, Bair Shigaev hari ini.-BERNAMA.