KUCHING, 26 APRIL 2025: Kerajaan Sarawak sedang melaksanakan langkah proaktif dengan meminda undang-undang sedia ada dari masa ke semasa supaya kekal relevan dan sejajar dengan perubahan semasa,
Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg berkata, beliau telah mengarahkan Jabatan Peguam Besar Sarawak (SAG) untuk menubuhkan satu Bahagian Penyelidikan (Research Division) yang akan menjalankan kajian menyeluruh terhadap undang-undang negeri, terutamanya yang sudah ‘lapuk’.
“Dulu tidak ada Bahagian Penyelidikan ‘Research Division’ di dalam SAG, dan sekarang sudah kita wujudkan dan Dato Sri Talat Mahmood Abdul Rashid (Bekas SAG) saya minta untuk membuatkan kajian khas untuk melihat, mempertimbangkan semula undang-undang yang kita ada, termasuk Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) dan semua undang-undang yang lama-lama yang harus kita lihat.
“Dan kalau ada perundangan yang lain yang ada hubung kait dengan perdagangan, maka kita mesti mengambil kira undang-undang ini dan peranan kita,” katanya ketika berucap dalam Majlis Apresiasi Kementerian Sumber Asli Dan Pembangunan Bandar (MUDENR) di sebuah hotel terkemuka, pada Jumaat.
Beliau menekankan pentingnya semakan semula ini bagi memastikan undang-undang negeri tidak ketinggalan, terutamanya yang berkaitan dengan perdagangan, alam sekitar dan pelaburan.
Pada penghujung majlis, beliau turut berkesempatan menyampaikan Anugerah Perkhidmatan Cemerlang MUDENR bagi tahun 2024 dan juga menyampaikan sijil penghargaan kepada staf yang bersara serta berpindah.
Turut hadir, isteri kepada Premier Sarawak; Puan Sri Datuk Amar Hajjah Juma’ani Tun Tuanku Bujang, Timbalan Premier Sarawak; Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan, Timbalan Menteri MUDENR; Datuk Len Talif Salleh dan Setiausaha Tetap MUDENR; Datu Abdullah Julaihi-UKAS