CAMERON HIGHLANDS, 12 MAC 2022 (SNN) : Pihak polis masih menjalankan proses bedah siasat ke atas pasangan suami isteri yang maut dipercayai akibat terkena renjatan elektrik pada Khamis lalu di kediamannya bagi mencari punca sebenar kematian.
Ketua Polis Daerah Cameron Highlands, DSP Mohd Shamsuri Mohd Nor berkata, proses bedah siasat yang dilakukan di Hospital Sultan Hajjah Kalsom, Tanah Rata bermula pagi ini dan keputusannya akan diperoleh dalam tempoh terdekat.
Memetik laporan daripada BERNAMA, Mohd Shamsuri menambah, selepas proses bedah siasat selesai dan keputusan mengenai punca sebenar kematian telahpun diketahui baru pihak mereka menyerahkan mayat mangsa kepada waris.
“Kedua-dua waris mangsa yang masing-masing dari Pulau Pinang dan Sarawak telahpun diberi maklum berhubung kejadian sejak Khamis lalu dan penyerahan mayat mangsa dilakukan selepas bedah siasat selesai bertujuan bagi melancarkan siasatan polis,” katanya lagi.
Terdahulu, pasangan suami isteri tersebut ditemui tidak sedarkan diri di dalam bilik air rumah mereka di Taman Puncak Teringkap, Cameron Highlands sebelum disahkan meninggal dunia oleh pasukan kecemasan bomba.
Walau bagaimanapun, ketiga-tiga anak pasangan berkenaan yang berusia dalam lingkungan 10 tahun yang turut berada dalam rumah terbabit tidak mengalami sebarang kecederaan. Manakala urusan hak penjagaan ke atas ketiga beradik tersebut sudahpun dimaklumkan kepada kedua belah pihak waris mangsa.