KUCHING, 07 FEBRUARI 2025: Petroleum Sarawak Berhad (PETROS) tampil dengan sumbangan berjumlah RM2 juta, bagi menyokong usaha berterusan membantu penduduk yang terjejas ekoran bencana banjir yang melanda Sarawak baru-baru ini.
Sumbangan tersebut disampaikan oleh Pengerusi PETROS Tan Sri Datuk Amar (Dr) Hamid Bugo kepada Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas selaku Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak (JPBNS).
Majlis penyerahan yang dibuat di Wisma Bapa Malaysia pada Jumaat itu disaksikan oleh Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg.
Tan Sri Hamid Bugo dalam pada itu memberitahu, sumbangan tersebut bertujuan bagi membantu dalam menyediakan bantuan dan sokongan penting kepada mereka yang terjejas akibat banjir.
“Kami menyedari kesukaran yang dihadapi oleh banyak komuniti akibat banjir dan dengan ini PETROS tetap komited untuk bekerjasama dengan Kerajaan Sarawak dan JPBNS bagi memastikan bantuan sampai kepada mereka yang memerlukan.
“PETROS dalam kesempatan ini turut menzahirkan simpati kepada semua yang terjejas serta menyanjung tinggi ketabahan komuniti dalam mengharungi cabaran ini,” ujar beliau menerusi satu kenyataan media susulan majlis penyerahan sumbangan berkenaan.
Dengan sumbangan itu, beliau memberitahu PETROS akan terus bekerjasama dengan pihak berkuasa yang berkaitan untuk memberikan bantuan yang diperlukan termasuk membekalkan barangan keperluan asas, peralatan, serta sokongan logistik kepada mangsa banjir.
Turut hadir sama ialah Setiausaha Kerajaan Sarawak; Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki, Setiausaha Kewangan Sarawak; Dato Sri Dr Wan Lizozman Wan Omar, Timbalan Setiausaha Kerajaan Sarawak (Pentadbiran) merangkap Timbalan Pengerusi JPBNS; Datu Buckland Bangik, Ahli Lembaga Pengarah PETROS; Datu Ir Zuraimi Sabki dan Naib Presiden Kanan Pembangunan Modal Insan, Hubungan Korporat dan Perkhidmatan Ismail Said-UKAS