KUCHING, 08 FEBRUARI 2024 (SNN): Petroleum Sarawak Berhad (PETROS) dilantik secara rasmi oleh Kerajaan Sarawak sebagai Agregator Gas di bawah Ordinan Pengagihan Gas (Pindaan) 2023 berkuatkuasa pada 1 Februari lepas.
Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak, Dato Sri Julaihi Narawi dalam satu kenyataan memberitahu, melalui pelantikan tersebut, PETROS akan memikul tanggungjawab bagi perolehan gas asli serta pembangunan, operasi dan penyelenggaraan rangkaian dan sistem pengedaran gas untuk membekalkan kepada industri dan pengguna lain di Sarawak.
“Pelantikan PETROS sebagai Agregator Gas adalah penting untuk memajukan objektif Sarawak yang digariskan dalam Pelan Hala Tuju Gas Sarawak.
“Dengan mempertingkatkan penggunaan gas asli dan memastikan keselamatan bekalannya, PETROS turut memainkan peranan penting dalam memudahkan penyertaan tempatan dan asing dalam sektor gas, seterusnya memupuk pembangunan ekonomi melalui aktiviti nilai tambah yang menjana peluang pekerjaan.
“Inisiatif ini selaras dengan matlamat Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 (PCDS) 2030 yang bertujuan untuk mencapai pertumbuhan sosio-ekonomi yang mampan dan meletakkan Sarawak sebagai wilayah maju dengan ekonomi berpendapatan tinggi menjelang tahun 2030,” jelasnya dalam satu kenyataan selepas menyempurnakan Majlis Penyerahan Gazet Pelantikan di pejabat Kementeriannya pada Rabu.
Di bawah Ordinan Pengagihan Gas, semua pengeluar gas huluan, termasuk Petroliam Nasional Berhad (PETRONAS) diberi mandat untuk bekerjasama rapat dengan PETROS bagi membolehkan syarikat itu memenuhi peranan berkanunnya sebagai Agregator Gas.
Sehubungan itu, inisiatif ini akan menyokong realisasi agenda pembangunan kerajaan Sarawak seperti yang digariskan dalam Pelan Hala Tuju Gas Sarawak.
Jelasnya lagi, pematuhan dengan Ordinan mewajibkan mana-mana pihak yang terlibat dalam aktiviti yang berkaitan dengan pengedaran gas termasuk pengeluar gas mesti mendapatkan lesen yang diperlukan.
Turut hadir sama adalah Timbalan Menteri Utiliti dan Telekomunikasi; Datuk Dr Abdul Rahman Junaidi, Peguam Besar Sarawak; Yang Arif Datu Saferi Ali, CEO PETROS; Datu Janin Girie, Setiausaha Tetap Kementerian MUT; Jafri Lias dan tetamu yang lain.