KUCHING, 08 OGOS 2024: Petroleum Sarawak Berhad (PETROS) selaku agregator gas tunggal di Sarawak perlu memastikan peruntukan gas untuk eksport dan nilai tambah tempatan ditentukan secara strategik dan adil.
Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak, Dato Sri Julaihi Narawi berkata, PETROS juga memainkan peranan penting dalam menarik pelabur, memupuk penyertaan tempatan yang lebih besar dan akan menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi Sarawak.
“Kerjasama dengan Petroliam Nasional Berhad (PETRONAS) adalah untuk memastikan peralihan tanggungjawab yang lancar dalam memperoleh gas asli daripada pengeluar huluan dan membekalkannya kepada industri di Sarawak, termasuk loji gas asli cecair (LNG) di Bintulu,” katanya semasa berucap dalam Majlis Penyerahan Lesen Pengedaran Gas: Memperkasa Industri Gas, pada Rabu.
Dalam pada itu, Dato Sri Julaihi menambah ketersediaan bekalan gas asli sebagai bahan api untuk penjanaan kuasa, industri komersial dan bahan mentah akan membantu pertumbuhan berterusan ekonomi Sarawak.
“Untuk melaksanakan Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 2030 (PCDS 2030) dan memastikan keselamatan bekalan gas jangka panjang, adalah dijangka 30 peratus daripada gas itu perlu diperuntukkan untuk keperluan domestik menjelang 2030,” katanya.
Sementara itu, dalam majlis tersebut Bahagian Pengagihan Gas di bawah Kementerian Utiliti dan Telekomunikasi (MUT) Sarawak telah mengeluarkan lesen runcit gas kepada 13 Penjual Gas Hulu yang memohon untuk menjalankan aktiviti bekalan dan penjualan gas asli di Sarawak.
Dato Sri Julaihi menjelaskan, apabila menerima lesen runcit gas mereka, semua Pemain Gas Hulu diingatkan untuk mematuhi Terma dan Syarat di bawah lesen mereka dan menandatangani Perjanjian Pembelian Gas (GPA) dengan PETROS selewat-lewatnya 1 Oktober 2024.
Katanya, kegagalan dalam memenuhi garis masa akan disifatkan sebagai tidak mematuhi Ordinan Pengagihan Gas, 2016 (DGO 2016) dan merupakan satu kesalahan di bawah Seksyen 20 ordinan berkenaan.
Hadir sama, Timbalan Menteri Telekomunikasi dan Utiliti Sarawak; Datuk Dr Abdul Rahman Junaidi, Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Hal Ehwal Korporat, Penerangan dan UKAS); Datuk Abdullah Saidol dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan PETROS; Dato Janin Girie.-UKAS