KUCHING, 21 SEPTEMBER 2021 (SNN) : Persatuan Alumni Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) Sarawak yang diwakili Presiden Kelab, Datuk Julaihi Narawi dan Ahli Jawatankuasa (AJK) pada Isnin telah mengadakan kunjungan hormat dan seterusnya menghulurkan sumbangan kepada Ketua Menteri Sarawak Datuk Patinggi Dr. Abang Haji Abdul Rahman Zohari Bin Tun Openg sebanyak RM71,400 untuk Tabung Bencana Negeri Sarawak (Covid-19).
Beliau yang juga Menteri Muda Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan Srawak merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sebuyau berkata, sumbangan berkenaan adalah hasil dari kutipan daripada ahli-ahli alumni UKM Sarawak sejak dari bulan Ogos yang lalu.
“Meskipun jumlah sumbangan ini tidaklah seberapa, namun kami berharap sumbangan itu dapat sedikit sebanyak membantu Kerajaan Sarawak menangani masalah Covid-19 yang masih melanda negeri Sarawak,” katanya dalam satu suntingan di laman Facebook miliknya baru-baru ini.
Tambah beliau, bagi pihaknya sendiri ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada semua ahli-ahli alumni UKM Sarawak yang telah sudi menghulurkan sumbangan ikhlas untuk bersama-sama membolehkan sumbangan berkenaan disampaikan kepada YAB Ketua Menteri.
Selain itu, ucapan terima kasih juga diucapkan kepada Yang Berbahagia Dato Sri Haji Mohamad Abu Bakar Bin Marzuki; Timbalan Setiausaha Kerajaan Sarawak (Transformasi Sosio Ekonomi), Tuan Haji Hashim Haji Bojet; Timbalan Presiden Persatuan Alumni UKM Sarawak, Adenan Bukra; Setiausaha Persatuan Alumni UKM Sarawak dan Sharbirin Shamsudin; Penolong Bendahari kerana telah banyak membantu proses kutipan derma dan dapat hadir dalam kunjungan hormat di pejabat Ketua Menteri.