ASAJAYA, 26 JUN 2022 (SNN): Ahli Parlimen Kota Samarahan, Datuk Hajah Rubiah Wang berkesempatan menyempurnakan Majlis Malam Ngiling Tikai di Kampung Gerunggang di sini pada Sabtu.
Datuk Rubiah dalam ucapannya berkata, beliau mahu perpaduan dalam kalangan masyarakat Sarawak yang berbilang kaum harus dikekalkan sampai bila-bila kerana dari situlah keharmonian sesebuah negara mahupun negeri dapat di bentuk.
“Di Sarawak ini contohnya, kita meraikan berbagai-bagai perayaan bahkan dalam masa yang sama seperti Hari Raya, Gawai dan akan datang Raya Aidiladha yang akan disambut dalam tempoh dua minggu akan datang kita bahkan merayakannya bersama-sama tanpa mengira latar belakang agama dan kaum”
“Setelah dua tahun kita dilanda pandemik, kini suasana menampakkan ke arah pemulihan dan kita bersyukur kemeriahan sebegini dapat kita sambut semula” katanya.
Dalam pada itu, Datuk Rubiah turut memaklumkan penubuhan Agensi Bersepadu Pembangunan Bahagian Samarahan (IRSDA) yang merupakan inisiatif Premier Sarawak sebagai usaha pembangunan yang pesat di Samarahan.
Dengan peruntukan sebanyak RM1.5 bilion, IRSDA akan menggerak usaha pembangunan infrastruktur asas termasuklah pembinaan benteng penahan hakisan, sistem perparitan yang sempurna dan jalan dalam kawasan kampung.
Turut hadir bersama ialah Timbalan Pesuruhjaya Polis Sarawak; Dato Mancha Ata, Pegawai Daerah Asajaya; Rais Ahmat, Timbalan Pengerusi Majlis Perbandaran Kora Samarahan; Zol Nono dan Penghulu Kawasan Sampun; John Gawit.