KAPIT, 03 JULAI 2022 (SNN): Perluasan perkhidmatan Unifi ke Kapit dan kawasan luar bandar seperti Long Lama dan Belaga pada masa hadapan akan dapat memajukan industri tempatan dan melonjakkan ekonomi Sarawak ke arah ekonomi digital.
Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Datuk Julaihi Narawi berkata, infrastruktur telekomunikasi yang menawarkan akses Internet jalur lebar sememangnya amat penting dan perlu disediakan bagi menyokong pertumbuhan ekonomi digital.
“Ini seterusnya akan memberi manfaat sama ada secara langsung atau tidak langsung kepada komuniti perniagaan serta masyarakat awam di Sarawak supaya seiring dengan bandar-bandar besar lain di Malaysia,” ujarnya ketika berucap pada Program Pelancaran Unifi ‘Udah Bisi Ba Kapit’ semalam.
Julaihi berkata, kerajaan benar-benar inginkan warga negeri ini termasuk di Kapit turut menikmati arus pembangunan berasaskan digital dalam pelbagai sektor, khususnya dalam sektor ekonomi disamping membantu rakyat dalam sektor perniagaan kecil dan sederhana yang kini banyak menggunakan platform digital.
“Dengan kemajuan ekonomi, saya percaya ia dapat melonjakkan pendapatan isi rumah dan seterusnya memperbaiki taraf hidup rakyat,” jelasnya sambil menambah, penduduk di Kapit dapat menjalankan urus niaga e-dagang dengan memasarkan produk mereka seperti hasil-hasil kraf tangan secara dalam talian.
Dalam sektor pendidikan, beliau percaya anak-anak di Kapit kini sudah boleh memanfaatkan perkhidmatan Internet jalur lebar untuk pembelajaran secara dalam talian.
“Ini juga menjadi satu keperluan untuk memperoleh ilmu berguna bagi menambah pengetahuan mereka sebagai tambahan kepada pendidikan formal yang dipelajari di sekolah,” ujarnya.
Julaihi yang juga Ahli Dewan Undangan (ADUN) Sebuyau berharap agar perkhidmatan Unifi dapat dimanafaatkan sepenuhnya oleh penduduk Kapit yang akan membantu merapatkan jurang digital antara penduduk bandar dan luar bandar.
“Harapan kita dengan tersedianya perkhidmatan telekomunikasi berasaskan digital ini akan merapatkan jurang digital antara penduduk di kawasan bandar dengan luar bandar, serta mempercepatkan perjalanan transformasi ini,” katanya.
Pada sidang media selepas majlis itu, beliau menyeru kerjasama semua untuk memastikan tiada berlakunya vandalisme terhadap kemudahan awam yang telah disediakan.
“Vandalisme berlaku terhadap kemudahan di mana-mana tempat sama ada menara telekomunikasi, elektrik dan bekalan air. Jadi masyarakat setempat harus membantu supaya vandalisme ini tidak berlaku.
“Ini semua amat penting bagi mengelak daripada berlakunya gangguan perkhidmatan,” tegas Julaihi.
Turut hadir sama Menteri Perdagangan Dalam Negeri Dan Hal Ehwal Pengguna merangkap Ahli Parlimen P215 Kapit; Dato Sri Alexander Nanta Linggi, Timbalan Menteri Utiliti dan Telekomunikasi (Telekomunikasi) yang juga ADUN N65 Belaga; Datuk Liwan Lagang, Pengurus Besar Sarawak Multimedia Authority merangkap Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia; Tan Sri Dr. Zaidi Razak, Pengarah Negeri Sarawak Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia; Adiman Ajem, Naib Presiden, Kawalselia & Keterlibatan Negeri, TM, Meor Shahril Anuar Ahmad Rathuan serta yang lain.