KUCHING, 03 MAC 2022 (SNN) : Semangat dan kisah pengorbanan pembela bangsa Melayu seperti Rosli Dhoby dan Rukun 13 perlu dihayati dan dijadikan contoh dalam membentuk semangat serta akhlak peribadi generasi muda kini dalam mempertahankan agama dan bangsa Melayu di negeri ini.
Menurut Timbalan Pengerusi Ahli Lembaga Pemegang Amanah Khairat Yayasan Budaya Melayu Sarawak (AKYBMS) Datuk Noraden Majais, semangat juang Rosli Dhoby dan rakan-rakan yang lain membuktikan mereka mempunyai semangat cintakan tanah air yang tinggi dalam membela nasib bangsa dan tanah air daripada dijajah oleh orang luar.
“Dalam erti kata lain, Rosli Dhoby dan Rukun 13 ini merupakan simbol keberanian anak-anak muda Melayu yang begitu teguh pada asas perjuangan mempertahankan maruah bangsa dan tanah air yang wajar ditanam dalam setiap generasi muda sekarang.
“Salah satu cara untuk memupuk semangat juang yang tinggi adalah dengan memahami sejarah dan melibatkan diri dalam program-program yang menayangkan sejarah perjuangan pejuang terdahulu seperti program hari ini ‘SAMAceramah 2022: Syarahan Rosli Dhoby dan Rukun 13’ yang dianjurkan setiap tahun,” kata beliau ketika berucap merasmikan Program SAMAceramah 2022: Syarahan Rosli Dhoby dan Rukun 13 yang mewakili Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan di Dewan Seminar, Wisma Sumber Asli, Kuching, pagi tadi.
Tambah beliau, AKYBMS kini menjadi tunjang utama untuk membela masyarakat melayu dan agama Islam di Sarawak dengan menyampaikan maklumat-maklumat melalui pelbagai platform media agar semangat juang membela nasib bangsa Melayu dan agama di tanah Ibu Pertiwi terus hidup dalam dada setiap generasi khususnya anak muda.
Jelasnya, beliau berharap program seperti ini dapat dilaksanakan dan diteruskan setiap tahun agar mesej penting berkaitan sejarah tanah air khususnya Sarawak tercinta dapat diperluaskan dan sampai kepada semua lapisan generasi sekarang.