KUALA LUMPUR, 14 OGOS 2021 (SNN) : Alhamdulillah, semalam berlangsungnya perbicaraan interlocutori saman mencabar kewujudan sekolah vernakular Cina dan India dan telah berjalan lancar pagi tadi secara maya dengan kemenangan telah berpihak kepada Plaintif, iaitu Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS), Majlis Pendidikan Islam Malaysia (MAPPIM) dan Gabungan Persatuan Penulis Naional (GAPENA).
Tahniah juga kepada barisan peguam bagi Plaintif telah berhujah dalam bahasa Melayu yang indah lagi lancar, demikian juga Hakim Mahkamah Tinggi Yang Arif Nazlan juga telah memberikan penghakiman dalam bahasa Melayu aras tinggi yang fasih. Hanya peguam bagi Defendan Pertama dan Kedua (dari Jabatan Peguam Negara) dan Defendan Ketiga-belas sahaja yang masih berhujah dalam bahasa Inggeris ketika prosiding ini.
Dalam perbicaraan interlokutori kali ini, Malaysian Chinese Language Council , Malaysian Tamil Neri Kalagam dan Gabungan Persatuan Bekas Pelajar Sekolah Tamil Malaysia telah cuba untuk memohon kepada Mahkamah agar beberapa perenggan dalam Penyata Tuntutan Plaintif dibatalkan. Antara perenggan yang cuba dibatalkan itu adalah antara lainnya perenggan di mana Plaintif merujuk kepada fakta-fakta berikut:-
a) dapatan dari kajian Profesor Dr Sharon Carstens dari PSU Institute for Asian Studies pada tahun 2014, yang mendapati bahawa rakyat Malaysia berbangsa Cina mempunyai perasaan kurang senang dan negatif terhadap penggunaan bahasa Melayu, walaupun mereka memperakui kedudukannya sebagai bahasa kebangsaan;
(b) dapatan dari tahun 2015 yang diterbitkan The Malaysian Insider, mengenai sikap acuh-tak-acuh anak-anak muda berbangsa Cina di Malaysia, bertajuk “Local Chinese Youths Divided on Iportance of Speaking in BM in Malaysia”;
(c) kajian oleh mantan pengarah Kajian Khazanah Research Institute, Dr Muhammed Abdul Khalid dalam bukunya The Colours of Inequality, yang memetik rekod dari Kementerian Pendidikan bahawa di antara tahun 2006 hingga 2010, kadar keciciran (drop-out rate) para pelajar dari sekolah jenis kebangsaan Cina adalah tertinggi berbanding Sekolah Kebangsaan;
(d) data dari parti MCA yang menganggarkan bahawa dari setiap 4 orang pelajar di sekolah jenis kebangsaan Cina, seorang daripadanya akan keciciran (drop out) sebelum berusia 18 tahun, justeru menjadikan kadar kecicirannya sebagai 25%, iaitu kadar keciciran tertinggi berbanding Sekolah Kebangsaan;
(e) laporan mengenai sikap perkauman sempit dan rasis oleh ibu-bapa kepada anak-anak di sekolah-sekolah jenis kebangsaan Cina, yang membantah guru-guru berbangsa Melayu daripada mengajar subjek bahasa Mandarin kepada anak-anak berbangsa Cina (walaupun guru-guru itu mempunyai kelayakan dan kefasihan sepenuhnya dalam bahasa Mandarin, tetapi dibantah semata-mata kerana mereka berbangsa Melayu);
(f) laporan padatahun 2016 di mana seorang guru berbangsa Cina di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina Nan Ya Telok Sengat yang telah memeluk Islam, dan memutuskan untuk menutup aurat dengan memakai tuung, tetapi pihak sekolah telah memberikantekanan dan ugutan bahawa jika beliau ingin terus mengajar di sekolah tersebut, maka beliau dikehendaki untuk menanggalkan tudung kepalanya.
Perenggan-perenggan yang menyenaraikan fakta-fakta di atas cuba untuk dipadam dari Penyata Tuntutan yang difailkan oleh Plaintif. Namun setelah mendengar hujahan kesemua pihak yang berlangsung selama kira-kria dua jam Hakim Yang Arif Nazlan telah menolak permohonan Malaysian Chinese Language Council, Malaysian Tamil Neri Kalagam dan Gabungan Persatuan Bekas Pelajar Sekolah Tamil Malaysia itu. Hakim sebaliknya berpendapat bahawa perenggan-perenggan tersebut hendaklah dibenarkan untuk kekal seperti sedia ada, untuk menjadi rujukan ketika perbicaraan penuh kelak.
Ini adalah merupakan kemenangan kecil di hari Jumaat yang mulia, tetapi harus diingat bahawa perjuangan memartabatkan kedudukan bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi dan kebangsaan di negara ini masih panjang. Kemenangan ini cuma kemenangan dalam satu pertempuran kecil, sedangkan peperangannya masih sengit dan belum sampai ke penghujung yang sebenar.