LAWAS, 29 DISEMBER 2024: Usaha murni Kerajaan Gabungan Parti Sarawak (GPS) di bawah pimpinan Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg akan membolehkan Sarawak mencapai kemajuan lebih pesat dan cepat.
Setiausaha Politik kepada Premier Sarawak, Awangku Jinal Abedin Dato Pengiran Jawa dalam memetik Jiwa Bakti berkata, kemajuan pesat yang sedang dan dalam pelaksanaan itu kelak akan manfaat rakyat.
Menurutnya, melalui pelbagai pendekatan strategik iaitu menyediakan kemudahan asas seperti infrastruktur jalan darat, perhubungan udara dan laut merupakan usaha kerajaan negeri untuk membuka laluan kepada keperluan lain khususnya bekalan air bersih, elektrik dan lain-lain seluruh pelosok negeri Sarawak, katanya.
“Rakyat Sarawak harus memberi sokongan padu kepada usaha murni kerajaan GPS pimpinan Abang Johari dalam melengkapkan jaringan perhubungan dan pembangunan tenaga hijau serta tenaga boleh diperbaharui,” katanya selepas mengadakan kunjungan Krismas ke kediaman Ahli Parlimen Lawas Dato Henry Sum Agong di Long Tuan, pada Sabtu.
Tambah Jinal Abedin lagi, semua usaha ini adalah merupakan asas kepada kemajuan Sarawak dalam rangka mencapai status negeri berpendapatan tinggi disamping memastikan seluruh rakyat Sarawak mendapat berbagai manfaat daripadanya.
Beliau berkata, faktor keperluan tenaga dan penjanaan tenaga baharu juga merupakan nadi kepada penggerak pembangunan yang diperlukan wilayah Sarawak yang cukup luas.
Awangku Jinal Abedin juga berharap agar penduduk di Parlimen Lawas bergandingan dengan Kerajaan GPS khususnya kepimpinan Sarawak dalam menjadikan Lawas sebagai penyumbang kepada aktiviti ekonomi.
Peranan akar umbi penting dalam menstabilkan ekonomi berkaitan pelancongan, perusahaan kecil, pertanian, ternakan, perikanan dan lain-lain industri kecil yang menjadi penyokong kepada sektor ekonomi lebih besar.
Turut serta dalam kunjungan Krismas itu ialah ahli-ahli jawatankuasa Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Cawangan Bukit Sari, Pergerakan Wanita, Sayap Pemuda dan Belianya.