KUALA LUMPUR, 26 OGOS 2021 (SNN) : Saintis Malaysia yang berpangkalan di United Kingdom (UK), Dr Serena Nik-Zainal sekali lagi mengharumkan nama negara selepas menerima anugerah Francis Crick Medal and Lecture 2022 atas sumbangannya terhadap kajian punca barah.
Menerusi kenyataan di laman sesawang The Royal Society, anugerah tersebut diberikan kepada Dr Serena atas kejayaan besar melalui analisisnya mengenai tanda-tanda mutasi pada genom barah, yang mana ketika ini telah diterapkan pada terapi barah. Anugerah tersebut sekali gus menyaksikan Dr Serena, yang kini bertugas sebagai doktor dan saintis di Penyelidikan Kanser UK, Universiti Cambridge bakal menerima pingat dan hadiah sebanyak £2,000 (RM11,568).
Graduan perubatan di Unit Penyelidikan Kanser, Universiti Cambridge di bawah tajaan Petronas itu akan turut menyampaikan ucapan bagi anugerah berkenaan pada tahun depan. Menurut The Royal Society itu lagi, anugerah The Francis Crick Medal and Lecture diberikan setiap tahun dalam apa jua bidang sains biologi. Keutamaan diberikan kepada bidang genetik, biologi molekul dan neurobiologi.
Setakat ini, 18 saintis telah menerima anugerah tersebut dari 2003 sehingga 2020, dimana pada tahun lalu ia dianugerahkan kepada Dr Marta Zlatic. Sementara itu, Dr Serena dalam kemas kini di laman Twitternya menzahirkan rasa gembira dan berterima kasih atas penghormatan besar itu.
“Terima kasih kepada semua yang telah mengajar, menyokong, mendorong dan membimbing saya. Kepada pasukan saya yang hebat, ini untuk kita,” demikian tulisnya pada Selasa.
Selain itu, Kejayaan Dr Selena itu turut mendapat perhatian Institut Penyelidikan Perubatan United Kingdom yang mengucapkan tahniah atas anugerah tersebut.
Pada Oktober 2019, Dr Serena dianugerahkan Hadiah Penyelidikan Kanser Dr Josef Steiner 2019 atas kejayaannya menjalankan kajian untuk mempercepat penafsiran holistik genom kanser.
Untuk rekod, Dr Serena menyambung pelajaran di Wellcome Sanger Institute (WSI) pada 2009 untuk meneroka kajian kanser payu dara menggunakan whole genome sequencing (WGS). Beliau kemudiannya dianugerahkan CRUK Advanced Clinician Scientist Fellowship pada 2017 sebelum berpindah ke Universiti Cambridge.-BERNAMA.