KOTA SAMARAHAN, 27 JANUARI 2023 (SNN): Isu penutupan tapak pelupusan sampah bagi kawasan Kota Samarahan yang terletak di Plaie yang menjadi kebimbangan penduduk sehingga menyebabkan pengurusan sisa pepejal di kawasan komersial tidak teratur mendapat perhatian Jawatankuasa Ombudsman Sarawak.
Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Integriti dan Ombudsman), Dato’ Murshid Diraja Dr Juanda Jaya yang mengetuai lawatan ke tapak pelupusan sampah Kota Samarahan berkata, pihaknya menerima laporan daripada orang ramai berkaitan pengurusan sampah dan isu procurement tentang kontrak pengurusan sampah di kawasan itu.
“Bertindak atas laporan itu, tinjauan yang dibuat di tapak berkenaan mendapati kawasan yang diwartakan sebagai tapak pelupusan sejak 37 tahun lalu telah diarahkan tutup oleh pihak NREB.
“Hal ini telah menimbulkan pelbagai masalah dan kekalutan proses kutipan sampah di bawah Majlis Perbandaran Kota Samarahan sehingga menimbulkan ketidakselesaan penduduk dengan bau sampah yang tidak diurus,” ujarnya dalam satu kenyataan selepas mengadakan lawatan kerja ke Majlis Perbandaran Kota Saamarahan baru-baru ini.
Tambah beliau lagi, Jawatankuasa Ombudsman yang kini dipengerusikan oleh Premier Sarawak akan mengenal pasti isu tadbir urus bagi isu pengurusan sampah di Majlis Perbandaran Kota Samarahan.
Selain itu, ujarnya juga orang awam yang mempunyai cadangan berkaitan sistem pengurusan sampah di kawasan itu dialu-alukan untuk memberi pandangan di laman Telegram Ombudsman Sarawak ‘HELLO OMBUDSMAN’.