BRUNEI DARUSSALAM, 08 MAC 2025: Pejabat Perdagangan dan Pelancongan Sarawak di Brunei Darussalam (STATOB) ditubuhkan dengan matlamat untuk menjadi penghubung utama antara Sarawak dan Brunei, di samping mempereratkan hubungan dua hala antara kedua-dua pihak.
Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan berkata, STATOB bertujuan untuk melihat dan mengembangkan potensi kerjasama dalam sektor perniagaan, pelancongan, dan sosial antara Sarawak dan negara Brunei Darussalam.
“Kerjasama antara Sarawak dan Brunei tidak hanya terbatas kepada sektor pelancongan sahaja, tetapi turut melibatkan sektor-sektor lain yang turut memberi peluang besar, seperti sektor tenaga, pertanian komersial, akuakultur, dan penternakan lembu serta kerbau,” ujar beliau dalam satu kenyataan pada Jumaat.
Menteri Perdagangan Antarabangsa, Industri dan Pelaburan Sarawak itu menambah, lawatan pada kali ini mengukuhkan lagi komitmen Kerajaan Sarawak untuk memanfaatkan potensi kerjasama antara Sarawak dan Brunei, selain mempromosikan hubungan perdagangan dan pelancongan yang lebih erat.
“STATOB dijangka menjadi platform utama bagi memperkasa hubungan dua hala ini, seterusnya memacu kemajuan ekonomi di kedua-dua belah pihak,” ujar beliau lagi.
Dalam lawatan tersebut, Datuk Amar Awang Tengah mendengar taklimat terkini mengenai perkembangan STATOB, yang baru dilancarkan oleh Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg, pada tahun lalu.
Hadir sama, Setiausaha Tetap Kementerian Perdagangan Antarabangsa, Industri dan Pelaburan Sarawak (MINTRED); Dzolkarnain Masron, Penasihat MINTRED; Dato Sri Naroden Majais dan Ketua Pegawai Eksekutif STATOB; Samat Junai-UKAS