More
    Home Malaysia Penubuhan Satu Entiti Agensi Air, Nama Akan Diumumkan Premier Jun Depan

    Penubuhan Satu Entiti Agensi Air, Nama Akan Diumumkan Premier Jun Depan

    SIBU, 27 APRIL 2025 (SNN): Hasrat Kerajaan Sarawak untuk menggabungkan tiga agensi bekalan air di bawah satu entiti kini berada di fasa akhir dan akan memberi manfaat jangka panjang kepada kakitangan agensi terlibat.

    Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak, Dato Sri Julaihi Narawi berkata, proses penggabungan itu kini dalam fasa akhir dan nama sudahpun ditentukan manakala pelancaran serta pengumumannya nanti akan disempurnakan oleh YAB Premier Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg pada Jun depan.

    “Sekalipun ada sesetengah pihak yang masih bimbang impak penggabungan tiga agensi bekalan air ini di masa hadapan saya ingin tegaskan untuk tidak perlu risau kerana kami tahu apa yang terbaik untuk semua.

    “Kebajikan kakitangan tetap akan dijaga termasuklah penambahbaikan dari segi gaji, pencen, caruman KWSP dan semua ini sedang diperincikan, jadi perkara lanjut mengenainya akan diumumkan pada sesi town hall kelak,” katanya ketika berucap pada Majlis Jamuan Tahunan Lembaga Air Sibu 2025 dan Ramah Tamah Aidilfitri di Sibu, semalam.

    Dato Sri Julaihi merakam gambar bersama kakitangan SWB pada majlis berkenaan

    Menurut beliau lagi, setakat ini tiga entiti air yang terlibat adalah Lembaga Air Kuching (KWB), Lembaga Air Sibu (SWB), dan Sarawak Water Sdn Bhd yang dahulunya dikenali sebagai Lembaga Air Kawasan Utara (LAKU) manakala Jabatan Bekalan Air Luar Bandar (JBALB) tidak terlibat buat masa ini.

    Julaihi menjelaskan, kerajaan negeri telah meluluskan peruntukan sebanyak RM697 juta untuk melaksanakan 30 projek di bawah Rancangan Malaysia Kedua Belas (RMKe-12) di kawasan seliaan Lembaga Air Sibu.

    “Setakat ini, lapan projek telah siap 26 peratus manakala 11 projek mencapai 37 peratus sedang berjalan mengikut jadual, dan baki 11 lagi masih dalam fasa perancangan.

    “Antara projek utama yang sedang berjalan termasuk Naik Taraf Loji Rawatan Air Salim serta penggantian dan penaiktarafan paip lama dengan kos sebanyak RM338 juta bagi bahagian Sibu,” katanya.

    Pada majlis yang sama, Dato Sri Julaihi menyampaikan anugerah Anugerah Perkhidmatan Cemerlang bagi tahun 2023 dan 2024 serta sijil kepada 31 kakitangan, Penghargaan Perkhidmatan selama 20 Tahun kepada tiga orang kakitangan dan Sijil serta Penghargaan Perkhidmatan Selama 30 tahun kepada tujuh orang kakitangan, manakala satu Anugerah Khas kepada seorang kakitangan Lembaga Air Sibu.

    Leave A Reply

    Please enter your comment!
    Please enter your name here

    Must Read

    Program MCMC Microsoft AI TECH fokus lahirkan rakyat Malaysia celik teknologi...

    0
    KUCHING, 27 APRIL 2025 (SNN): Kerajaan Sarawak komited dalam menunjukkan komitmennya dalam memacu transformasi digital menerusi Sarawak Digital Economy Blueprint 2030 dengan menjadikan ekonomi...