KUCHING, 17 OGOS 2023 (SNN): Syarikat penyedia perkhidmatan telekomunikasi, Maxis telah menubuhkan Hab Internet Serantau baharu yang terletak di Pusat Operasi Teknikal Maxis, Kuching bagi meningkatkan kelajuan internet pelanggannya di Sarawak.
Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak, Datuk Julaihi Narawi berkata, penubuhan hab ini selaras dengan misi utama kerajaan Sarawak untuk memastikan akses kepada sambungan internet berkelajuan tinggi yang saksama untuk rakyat di negeri ini.
”Saya menyeru kepada pembekal perkhidmatan telco agar terus bekerjasama dengan kementerian saya untuk memberikan perkhidmatan internet yang pantas bukan sahaja di kawasan bandar malah di kawasan pedalaman juga,” jelas beliau semasa berucap dalam majlis perasmian Hab Internet Serantau Maxis di Kuching pada Rabu.
Beliau turut mengalu-alukan usaha Maxis dalam membantu menyediakan perkhidmatan internet yang pantas kepada rakyat di Sarawak kerana ia merupakan salah satu pemangkin kepada kemajuan ekonomi seperti yang termaktub dalam Strategi Pembangunan Pasca COVID19 2030 (PCDS 2030).
“Saya amat mengalu-alukan usaha yang diambil oleh pihak Maxis supaya kerjasama ini dapat membantu kerajaan mempercepatkan transformasi yang kita sasarkan yang mana secara langsung dapat membantu rakyat di seluruh Sarawak,” katanya lagi.
Maxis merupakan syarikat telekomunikasi pertama yang membina Hab Internet Serantau di Sarawak dengan sambungan kandungan antarabangsa secara langsung dan berjaya mengurangkan 58 peratus trafik mudah alih di Malaysia Timur ekoran ianya telah ditempatkan di hab serantau ini.
Dalam sidang media selepas majlis tersebut, Datuk Julaihi memberitahu sehingga hari ini, sebanyak 3708 daripada 7000 menara telekomunikasi telah siap dibina.
Hadir sama wakil Setiausaha Tetap Kementerian Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak; Raduan Bujet, Ketua Pegawai Eksekutif Maxis Berhad; Goh Seaw Eng, Pengarah Kawal Selia Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Sarawak; Lo Ann Ni, Ketua Pegawai Hal Ehwal Korporat Maxis Berhad; Mariam Bevi Batcha dan Ketua Pegawai Rangkaian Maxis Berhad; Abdul Karim Fakir.-UKAS