LUNDU, 03 DISEMBER 2021 (SNN) : Kerajaan Sarawak menyasarkan untuk menjadikan Lundu sebagai Zon Pelaburan Pelancongan dengan membuat pelaburan terhadap modal insan yang terdiri daripada anak muda tempatan.
Usaha tersebut selari dengan misi Pusat Kecemerlangan Teknikal Sarawak (CENTEXS) Lundu menubuhkan Akademi Hospitaliti dan Pelancongan bagi melatih bakat-bakat tempatan terutama golongan belia di kawasan sekitar.
Menurut Ketua Menteri, Datuk Patinggi Tan Sri Dr Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg, Lundu akan dipromosikan sebagai destinasi pelancongan dan kewujudan CENTEXS akan mengukuhkan peranan para pelatih untuk bersedia menggalas tugas menjadi tenaga kerja dalam bidang itu.
“Dalam jangka masa panjang, Lundu dan Sematan akan menjadi daerah yang sangat membangun dan orang muda juga ada tempat untuk berlatih,” katanya dalam sidang media selepas merasmikan CENTEXS Lundu dan Akademi Hospitaliti dan Pelancongan di situ pada Rabu.
Untuk rekod, kampus CENTEXS Lundu merupakan yang kedua terbesar selepas kampus induk di Santubong dan berkeupayaan menerima 800 pelatih dengan kemudahan tujuh bilik kuliah dan 14 bengkel.