More
    Home Sarawak Kuching Peniaga yang didapati menaikkan harga tong gas LPG bersubsidi akan berdepan tindakan...

    Peniaga yang didapati menaikkan harga tong gas LPG bersubsidi akan berdepan tindakan tegas-Julaihi

    KUCHING, 15 FEBRUARI 2025 (SNN): Kerajaan amat memandang serius dan akan mengambil tindakan tegas kepada mana-mana peruncit yang mengambil kesempatan menaikkan harga tong gas silinder gas petroleum cecair (LPG) bersubsidi susulan gangguan bekalan akibat bencana alam yang melanda negeri ini baru-baru ini.

    Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak, Dato Sri Julaihi Narawi menegaskan, kekurangan bekalan gas memasak untuk pengguna di beberapa lokasi di Sarawak yang berpunca daripada masalah logistik setelah pusat isian semula di Tanjung Kidurong ditutup akibat tanah runtuh bukanlah satu asalan bagi mereka untuk menaikkan harga bekalan tersebut.

    Menurutnya, susulan daripada kejadian itu pihaknya telah dimaklumkan mengenainya dan tindakan segera telahpun diambil bagi memastikan bekalan tabung gas LPG kembali stabil khususnya di kawasan yang terkesan.

    “PETROSNiaga telah bertindak dengan mengambil langkah segera dan mereka berusaha sedaya upaya untuk mendapatkan bekalan daripada Senari, sebab gas yang dibotolkan di Bintulu tidak boleh digunakan untuk menghasilkan LPG akibat tanah runtuh tempoh hari.

    “Bekalan itu kini sedang dihantar dari Senari ke Miri dan Bintulu, dan mereka sedang dalam proses menstabilkan bekalan dan saya harap semua pihak bersabar dan memahami situasi ini,” katanya kepada media selepas mengadakan lawatan bersama Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg ke Sistem Penyimpanan Tenaga Bateri (BESS) di Sejingkat Power Corporation (SPC) pada Jumaat.

    Dato Sri Julaihi ketika menyambut ketibaan YAB Premier Sarawak-foto UKAS

    Dalam pada itu, Dato Sri Julaihi turut memaklumkan, berhubung daripada insiden berkenaan ada sesetengah pihak didapati cuba mengambil kesempatan dengan menaikkan harga LPG bersubsidi.

    Beliau sekali lagi menegaskan, harga runcit bagi satu unit tong gas LPG bersubsidi domestik adalah kekal pada kadar RM26.60 setong dan mana-mana pihak peruncit yang menjual lebih dari harga tersebut akan berdepan tindakan tegas.

    “Saya telahpun mengarahkan pihak PETROS untuk mengambil tindakan sewajarnya terhadap mana-mana pihak yang menaikkan harga secara tidak sah kerana tindakan yang dilakukan ebih-lebih lagi semasa krisis ini sangatlah tidak beretika dan membebanka rakyat.

    “Dalam masa yang sama juga, saya turut dimaklumkan PETROSNiaga telahpun menaikkan jumlah silinder LPG hampir dua kali ganda bagi memperkukuh kapasiti bekalan gas di seluruh negeri,” tambahnya lagi.

    Difahamkan, pada fasa pertama sebelum ini, PETROSNiaga telah menyuntik dana sebanyak RM50 juta bagi membekalkan 350,000 silinder baru di pasar dan jumlah itu kini telah digandakan kepada 690,000 dengan peruntukan sebanyak RM100 juta.

    Jelas beliau, secara keseluruhanya, jumlah edaran tabung gas silinder di negeri ini adalah hampir 1.8 juta tong dan harus diingatkan tabung silinder bersubsidi hanya digunakan untuk tujuan domestik manakala sektor komersial harus menggunakan LPG tidak bersubsidi.

    Beliau turut menggesa orang ramai untuk melaporkan sebarang aktiviti peruncit yang menaikkan harga LPG bersubsidi melebihi dari kadar ditetapkan kepada pihak berkuasa bagi tindakan lanjut.

    Turut hadir sama ialah Setiausaha Kerajaan Sarawak; Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki, Timbalan Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak (Utiliti); Datuk Dr Abdul Rahman Junaidi, Timbalan Menteri Tenaga dan Kelestarian Alam Sekitar Sarawak; Datuk Dr Hazland Abang Hipni, Pengerusi SEB; Dato Ibrahim Baki, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan SEB; Datuk Sharbini Suhaili serta Ketua-ketua Jabatan.

    Leave A Reply

    Please enter your comment!
    Please enter your name here

    Must Read

    Sarawak lancar Sistem Penyimpanan Tenaga Bateri pertama di Malaysia

    0
    KUCHING, 15 FEBRUARI 2025: Sarawak Energy Berhad (SEB) melancarkan Sistem Penyimpanan Tenaga Bateri (BESS) berskala utiliti pertama di Malaysia yang ditempatkan di Stesen Janakuasa...