More
    Home Sarawak Bintulu Pengundi diharap agar pilih wakil yang benar-benar bekerja untuk rakyat

    Pengundi diharap agar pilih wakil yang benar-benar bekerja untuk rakyat

    BINTULU, 24 OKTOBER 2023 (SNN): Mengundi calon yang benar-benar layak pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Jepak adalah tindakan yang sangat penting dalam membentuk masa depan konstituensi tersebut.

    Pengarah Operasi PRK DUN Jepak yang juga Timbalan Yang DiPertua Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan menegaskan, pengundi perlu membuat keputusan bijak sebelum melaksanakan tanggungjawab mereka pada 4 November depan (hari pengundian) dengan mendapatkan maklumat mencukupi tentang calon yang bertanding.

    Menurutnya, beberapa kriteria yang perlu ada pada calon yang layak antaranya adalah kualiti, kepakaran dan kemahiran untuk mewakili dan betul-betul bekerja memperjuangkan kepentingan penduduk di DUN Jepak.

    Beliau berkata demikian semasa berucap ringkas di majlis santai ‘Jum Ngupi’ anjuran Koperasi Wawasan Ibu Tunggal Bintulu Berhad di Kampung Sebiew, pada Isnin.

    YAB Timbalan Premier meluangkan masa menjamu juadah yang disediakan oleh pihak penganjur dan berpeluang melihat serta mencuba membuat kuih ‘Tebes’ yang merupakan makanan tradisi masyarakat melanau di sini-foto UKAS

    Dalam pada itu, Datuk Amar Awang Tengah turut menyatakan harapannya agar pengundi DUN Jepak tidak terperangkap dalam retorik politik, sebaliknya menjalankan proses pengundian dengan baik.

    Beliau mengingatkan bahawa setiap undi yang dikeluar akan menentukan keputusan pilihan raya.

    Menyentuh mengenai kemajuan setakat ini, katanya, Bintulu sedang mengalami transformasi besar yang berterusan dalam pelbagai aspek pembangunan.

    Jelasnya lanjut, proses transformasi ini adalah usaha gigih dan komitmen padu kerajaan Sarawak dalam memajukan daerah ini.

    “Dahulu, Bintulu ini hanya mempunyai beberapa rumah kedai yang diperbuat daripada papan..penduduk pula lebih kurang sekitar 5000 orang sahaja.

    “Sekarang, kita lihat di sekeliling kita banyak bangunan-bangunan tinggi, industri-industri berkembang, cepat membangun, orang yang berniaga pun untung..bukan hanya di bandar malah di luar bandar,”ujar beliau.

    Turut hadir ialah Speaker DUN Sarawak; Tan Sri Datuk Amar Mohamad Asfia Awang Nassar, Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Kanak- Kanak Dan Kesejahteraan Komuniti; Datuk Rosey Yunus, Timbalan Menteri Belia, Sukan Dan Pembangunan Usahawan; Datuk Dr. Ripin Lamat, Setiausaha Eksekutif PBB; Datuk Awang Bujang Awang Antek, Timbalan Pengerusi BDA; Dato Haidar Khan Asghar Khan, Pengerusi Koperasi Wawasan Ibu Tunggal Bahagian Bintulu; Aishah Peri serta calon GPS; Iskandar Turkee.-UKAS

    Leave A Reply

    Please enter your comment!
    Please enter your name here

    Must Read

    Pembinaan lapangan terbang baharu di Kuching akan menjadi nilai tambah daya...

    0
    KUCHING, 25 DISEMBER 2024: Lapangan terbang antarabangsa baharu yang dicadangkan di Kuching akan menjadi nilai tambah dalam meningkatkan daya tarikan Sarawak untuk perniagaan, pelaburan...