SARATOK, 17 NOVEMBER 2024 (SNN): Dasar pembangunan Kerajaan Sarawak di bawah pimpinan Gabungan Parti Sarawak (GPS) oleh Bank Dunia tahun lepas membuktikan kerajaan negeri berada di landasan yang tepat dalam menjadikan wilayah berpendapatan tinggi.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kalaka, Mohamad Duri memberitahu, pengiktirafan daripada Bank Dunia itu adalah berikutan Pendapatan Kasar Sarawak (GNI) per kapita pada tahun 2023 mencapai satu tahap yang tinggi iaitu USD17,000 atau RM70,000.
“Ini jelas menunjukkan bahawa Kerajaan Sarawak komited menterjemahkan GNI ini kepada usaha untuk meningkatkan pendapatan per kapita isi rumah Sarawak menjelang 2030.
“Dasar pembangunan di dalam Pelan Strategi Pembangunan Pasca Covid-2030 (PCDS 2030) yang diperkenalkan oleh Kerajaan GPS di bawah pimpinan YAB Premier Datuk Patinggi Abang Johari jelas berada di landasan yang betul,” katanya ketika berucap merasmikan Siri Jelajah Taklimat PCDS 2030 di Dewan Masyarakat Sri Krian, pada Sabtu.
Katanya lagi, siri jelajah ini merupakan sempena Program Jangkauan Setiausaha Politik yang dianjurkan Pejabat Setiausaha Politik Jabatan Premier Sarawak dengan kerjasama Pejabat Daerah Saratok dan Pusat Khidmat ADUN N.38 Kalaka.
Turut hadir sama pada majlis itu ialah Ketua Penyelarasn Program Jangkauan merangkap Setiausaha Politik kepada Premier; Abdul Samat Gany dan Pegawai Daerah Saratok; Mohammad Dino Amid.