KOTA SAMARAHAN, 19 OGOS 2021 (SNN) : Seorang penghantar makanan dan penganggur ditahan selepas cubaan membawa dadah jenis syabu ke kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) berjaya dihidu pihak polis di pondok sekatan di Kampung Baru, Samarahan semalam.
Ketua Polis daerah Kota Samarahan DSP Sudirman Skram dalam satu kenyataan berkata, pemeriksaan ke atas bungkusan makanan yang dibawa oleh penghantar makanan pada jam sekitar 11.30 pagi berkenaan mendapati terdapat lapan bungkusan pakaet plastik berisi ketulan disyaki dadah jenis syabu seberat 20 gram.
Difahamkan bungkusan makanan tersebut mahu diserahkan kepada seseorang yang berada di dalam kawasan PKPD Kampung Baru, Samarahan dan hasil pemeriksaan pihak polis berjaya mematahkan usaha penyeludupan dadah berkenaan.
Tambah beliau, hasil ujian saringan air kencing ke atas suspek yang menerima bungkusan itu didapati positif dadah jenis methamphetamine manakala ujian saringan air kencing ke atas penghantar makanan pula adalah negatif.
Walau bagaimanapun, penghantar makanan berkenaan turut ditahan bagi membantu siasatan dan kes ini akan disiasat di bawah Seksyen 39A (1) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952.