LAWAS, 08 MAC 2022 (SNN) : Penggunaan mesin pelerai padi diharapkan dapat membantu golongan petani yang menanam padi secara berkelompok menuai padi dengan cepat sekaligus meningkatkan hasil pengeluaran padi di Daerah Lawas.
Timbalan Menteri Pengangkutan Malaysia Dato’ Henry Sum Agong berkata, sebelum ini petani banyak menggunakan tenaga sepenuhnya untuk menyelerai padi secara manual dan dengan adanya pemberian mesin pelerai padi ini mampu meringankan kerja mereka untuk mendapatkan hasil padi lebih cepat.
“Program yang dianjurkan bersama Jabatan Pertanian Lawas ini sekaligus memberi peluang kepada para petani untuk meningkatkan hasil pertanian padi dan menambahkan pendapatan mereka dengan adanya bantuan mesin ini,” katanya semasa berucap dalam penyerahan Mesin Pelerai Padi kepada 5 buah kampung di Dewan Kebudayaan Lun Bawang Sarawak, Long Tuan pada Sabtu.
Pada majlis itu, Dato’ Henry yang menyempurnakan perasmian program terbabit telah menyerahkan secara simbolik mesin pelerai padi kepada 5 orang wakil yang mewakili 5 buah kampung terpilih iaitu Long Tuan, Kampung Punang Trusan, Kampung Batu Dua, Kampung Long Semadoh Airport dan Kampung Long Langai dengan kos RM66,375.
Beliau yang juga Ahli Parlimen Lawas turut meminta Ketua Masyarakat dan Ketua Kaum (KMKK) memberi dorongan kepada anak-anak buah di kampung untuk memberikan tumpuan mengusaha dan membuka seluas-luasnya sawah padi secara besar-besaran sekaligus meningkatkan hasil pengeluaran padi di daerah Lawas.
Ujarnya lagi, petani mendapatkan bantuan nasihat dan peralatan daripada Jabatan Pertanian untuk mengembangkan lagi hasil pengeluaran padi.
Hadir sama Pegawai Daerah Lawas Ladin Atok, Pegawai Pertanian (Bahagian Pembangunan) Bahagian Limbang Zakaria Ramli, AAO Lawas Daroup Mail Ketua Pejabat Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Lawas Teresa Baru, Penghulu Jack Agong dan staf Jabatan Pertanian Lawas serta Agrobank Cawangan Lawas.-UKAS.