MIRI, 10 OKTOBER 2024: Kerajaan Sarawak telah menggubal undang-undang untuk mempromosi dan membangunkan projek Pengurangan, Penggunaan dan Penyimpanan Karbon (CCUS) di luar pesisir perairan Sarawak.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg berkata, syarikat Petroleum Sarawak Berhad (PETROS) yang dilantik sebagai pengurus sumber memainkan peranan mempromosi dan membangunkan tapak penyimpanan karbon tersebut.
“ketika ini terdapat tiga projek CCUS termasuk satu yang melibatkan kerjasama bersama konsortium minyak dan gas dari Jepun.
“Kita telah menggubal undang-undang untuk mempromosi, membangun CCUS di luar pesisir perairan Sarawak yang mana kerangka undang-undang ini membolehkan kita membangun dan mempromosi agenda hijau untuk menyimpan karbon dalam perairan kita.
“PETROS sebagai pengurus sumber untuk mempromosi dan membangunkan tapak penyimpanan karbon. Semua pihak yang berminat terhadap projek CCUS harus berhubung dengan PETROS sebagai pengurus sumber,” katanya semasa berucap pada majlis pembukaan Ibu Pejabat Operasi Huluan Shell Malaysia (OSSM) di Miri Times Square pada Rabu.
Terdahulu, Datuk Patinggi Abang Zohari turut mengajak Shell untuk menjalinkan kerjasama erat dengan PETROS dalam lanskap minyak dan gas di Sarawak.
Menurutnya, Shell merupakan rakan strategik kerajaan Sarawak yang telah mentransformasikan Miri dari perkampungan kecil menjadi bandar yang moden.
“Saya berbesar hati untuk menyatakan bahawa Shell telah menjadi rakan kongsi yang boleh dipercayai untuk memajukan masa depan Sarawak. Anda bersama-sama Kerajaan Sarawak telah mengubah Miri daripada sebuah kampung kecil kepada sebuah bandar moden.”
“Mari teruskan perjalanan pertumbuhan di Sarawak terutamanya dalam tenaga hijau sama ada CCUS atau teknologi lain yang lebih hijau,” tambah Premier Sarawak lagi.
Hadir sama Timbalan Premier Sarawak; Datuk Amar Prof. Dr Sim Kui Hian, Menteri Pengangkutan Sarawak; Dato Sri Lee Kim Shin, Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak; Dato Sri Julaihi Narawi, Setiausaha Kerajaan Sarawak; Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki, Timbalan-Timbalan Menteri, Pengerusi Shell Malaysia; Siti Hurrairah Sulaiman serta dif-dif kenamaan yang lain.-UKAS