KOTA SAMARAHAN, 17 DISEMBER 2022 (SNN): Penganjuran Sarawak Food & Cultural Festival (SFCF) menjadi platform yang tepat untuk peniaga tempatan mempromosi dan memasarkan produk mereka selain mempergiat perihal kebudayaan setempat.
Timbalan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, Datuk Rubiah Wang berkata, festival seperti ini merupakan peluang kepada usahawan tempatan untuk mempromosikan produk-produk mereka di samping mengetengahkan kebudayaan masyarakat setempat di mata dunia.
“Kita semua yakin bahawa aktiviti seperti ini pastinya membantu menjana ekonomi tempatan dan kita jualah yang akhirnya mendapat kebaikan darinya,” katanya ketika berucap dalam majlis penangguhan Sarawak Food & Cultural Festival bertempat di Summer Mall pada Jumaat.
Dalam pada itu, beliau berkata penganjuran festival ini tidak membawa sebarang makna sekiranya tidak mendapat sambutan daripada masyarakat setempat.
Jelasnya, acara sebegini secara tidak langsung dapat memelihara tali persaudaraan dan hubungan baik antara satu sama lain.
Tambah beliau lagi, Samarahan akan berubah wajah dan seterusnya akan menerima impak pembangunan sekaligus merancakkan aktiviti perniagaan, sektor pelancongan serta perkhidmatan.
Hadir sama pada majlis itu ialah Pengerusi Majlis Perbandaran Kota Samarahan Dato Peter Minos, Pengerusi Pengelola Samarahan Food & Cultural Festival 2022 Dr Florince Christy serta tetamu jemputan yang lain.-UKAS.