KOTA SAMARAHAN, 26 FEBRUARI 2025: Majlis Hafazan Al-Quran Peringkat Sarawak 1446H/2025M yang dianjurkan di Dewan Suarah, Kota Samarahan telah melabuhkan tirainya dengan pencapaian membanggakan, memperlihatkan peningkatan ketara dalam kualiti hafazan generasi muda.
Pertandingan yang memasuki hari terakhir semalam itu menyaksikan 11 peserta terbaik menampilkan hafazan yang semakin mantap, bukan sahaja dari segi daya ingatan tetapi juga dalam penghayatan serta kefasihan bacaan.
Menurut Timbalan Residen Bahagian Samarahan, Rais Ahmat perkembangan positif ini mencerminkan usaha berterusan dalam memperkasakan pendidikan Al-Quran di negeri ini.
“Setiap tahun, kita melihat peningkatan dari segi kualiti hafazan dan keyakinan peserta.
“Ini membuktikan bahawa generasi muda Sarawak semakin mencintai Al-Quran dan bersungguh-sungguh dalam memperbaiki bacaan serta pemahaman mereka,” katanya.
Para peserta bukan sahaja diuji dalam aspek hafazan, tetapi juga dalam penyampaian yang penuh tartil dan fasohah yang diadili oleh panel juri yang terdiri daripada pakar hafazan dan qari profesional.
Selain pertandingan, majlis turut diserikan dengan persembahan nasyid bertemakan penyampaian mesej Islam melalui seni suara, menghiburkan hadirin sambil menyemai nilai-nilai murni.
Majlis penutupan dan pengumuman pemenang akan diadakan pada 27 Februari dan disempurnakan oleh Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Pehin Sri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar dan isteri, Toh Puan Datuk Patinggi Fauziah Mohd Sanusi.
Penganjuran majlis ini diharap dapat terus mencetuskan semangat mencintai Al-Quran, melahirkan lebih ramai huffaz berkualiti, serta membentuk masyarakat yang berpegang teguh kepada nilai-nilai Islam.
Dengan sokongan ibu bapa, guru, dan pencinta Al-Quran, Sarawak semakin hampir ke arah menjadi negeri yang kaya dengan generasi celik Al-Quran.
Turut hadir, Pegawai Islam Bahagian Samarahan; Bahrin Kawi dan Temenggong Masyarakat Melayu Bahagian Samarahan; Chek Bujang-UKAS