KOTA SAMARAHAN, 31 JULAI 2022 (SNN): Rakyat Sarawak terutamanya golongan belia boleh memanfaatkan karnival sukan sebagai platform untuk mencungkil serta mengasah bakat mereka dalam arena sukan.
Ahli Parlimen Kota Samarahan, Datuk Rubiah Wang berkata, ia seterusnya boleh dijadikan peluang untuk memperkasakan diri ke peringkat lebih tinggi selain berpeluang untuk mewakili negeri atau negara pada masa akan datang.
“Penganjuran karnival sebegini mampu melatih kemahiran para belia dalam apa jua aktiviti sukan yang diceburi serta dibawa ke arena peringkat tinggi pada masa depan,’’ katanya ketika merasmikan Program Ilmuan Muda dan Karnival Sukan Kampung Nakong 2022 di Kampung Nakong pada Sabtu.
Dalam pada itu, beliau menyambut baik penganjuran aktiviti sosial berbentuk kemasyarakatan sebegitu kerana mampu mengembalikan suasana bekerjasama dan mengeratkan semula silaturahim antara penduduk yang terlibat selain memberi fokus kepada para belia agar tidak terjerumus dengan aktiviti sosial negatif.
Sementara itu, Datuk Rubiah menggesa pemimpin masyarakat agar sentiasa memainkan peranan masing-masing dalam merapatkan jurang hubungan antara pemimpin dengan rakyat setempat.
Hadir sama memeriahkan program tersebut ialah Ketua Kaum Kampung Nakong Saini Mail, Ketua Ranting Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Kampung Nakong Kadir Umar serta Ketua Wanita Ranting PBB Kampung Nakong Latipah Abdul Jalil.-UKAS.