KUCHING, 02 APRIL 2022 (SNN) : Karnival Afifah @ Pustaka 2022 berlangsung meriah dengan kehadiran enam pasukan handalan yang terdiri daripada barisan bintang Afifah FC, antara pasukan bola sepak amatur di Kuching yang semakin meningkat naik.
Menurut jurucakap Afifah FC, Saudara Azlan Smail atau lebih dikenali sebagai Jul Lawas, program ini bertujuan untuk mengeratkan ukhwah sesama ahli pasukan dan menjadi landasan untuk membina kefahaman, semangat berpasukan serta keserasian dalam menjayakan usaha penjenamaan semula Afifah FC.
“Dalam tempoh kurang dua tahun, Afifah FC telah berjaya menganjurkan dua sesi perlawanan persahabatan bersama dengan pasukan luar Kuching khususnya kelab-kelab lain di sekitar Bintulu.”
“Malah, program pada hari ini juga mendapat sambutan di luar dugaan terutamanya dari segi penyertaan ahli-ahli senior dan junior. Setiap pasukan yang dipecahkan kepada enam pasukan telah dimantapkan lagi dengan kehadiran pemain jemputan,” ujar beliau lagi.
Karnival kali kedua ini menyaksikan ‘Pasukan A’ yang diterajui Hafizy Ghazali bersama penyerang sensasi Afifah, Mohd. Khairul Bojet, mengungguli gelaran juara setelah berhempas-pulas mencipta kemenangan dengan satu kekalahan.
Sementara itu, Pasukan C bimbingan Abd Mutalip Razali kempunan untuk merangkul kedudukan naib juara selepas berkongsi 11 mata bersama dengan Pasukan D yang diselia oleh Wan Hamidon. Akhirnya, Pasukan D dipilih sebagai Naib Juara dengan kelebihan perbezaan gol, memaksa Pasukan C terpaksa berpuas hati di tempat ke-3.
Manakala Pasukan B yang dikemudi oleh pemain perintis Afifah FC, Wahab Bujang, menduduki tempat ke-4, diikuti oleh Pasukan E (Kapten Nabawi Bujang) dan Pasukan F (Kapten Nazrieman Bujang) yang diaibkan dengan tiga kekalahan berturut-turut.
Pemain prolifik Afifah FC, Mohd. Khairul Bojet akhirnya dinobatkan sebagai pemain terbaik dengan persembahan mantap dan bertenaga yang dipamerkan sepanjang karnival berlangsung. Sementara Wan Hamidon dijulang sebagai Penjaga Gawang terbaik mengatasinya pesaing terdekatnya, penjaga gol pencen Razak Hasyim.
Karnival amatur ini ditaja sepenuhnya oleh Afifah Enterprise dan sumbangan peribadi ahli-ahli kelab yang prihatin.
“Pengurusan Afifah berhasrat agar Edisi ke-3 selepas Aidilfitri kelak akan lebih mengujakan serta lebih mantap dengan kehadiran pasukan handalan sekitar Petra Jaya untuk turut bertarung sebagai pasukan jemputan.” Tambah Azlan.
Turut hadir ke acara perlawanan round-robin ini ialah En. Wan Hazini Wan Biddin, Pengurus Afifah FC; bersama dengan Penasihat Kelab En Wahab Bujang dan Tuan Hafizy Ghazali yang berkesempatan menyampaikan hadiah kepada para pemenang.