KUCHING, 21 JANUARI 2025 (SNN): Penerbitan buku berjudul ‘Adat Resam Masyarakat Melayu Sarawak’ bertujuan untuk mendokumentasikan adat resam masyarakat Melayu Sarawak dengan penekanan kepada prinsip-prinsip Syariah Islam dalam memperkukuhkan pemahaman dan penghayatan budaya tradisional dalam kalangan masyarakat setempat.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun openg memberitahu, amatlah penting untuk kita sebagai masayrakat Melayu memelihara dan meneruskan adat resam sebagai warisan budaya disamping harus selari dengan syiar Islam.
“Melalui penerbitan buku ini bukan sahaja menjadi rujukan penting bagi generasi akan datang malah berfungsi sebagai panduan dalam memastikan adat resam yang diwarisi sejak turun-temurun tetap relevan dan tidak bercanggah dengan prinsip Islam yang menjadi pegangan kita.
“Sebagai contohnya, adat resam masyarakat Melayu yang kian pupus dan perlu dikaji semula dari segi warisannya ialah majlis perkahwinan, jika dilihat pada ketika ini kebanyakan masyarkaat Melayu mungkin mahukan majlis ala moden sehingga adat diketepikan.
“Oleh itu, saya menggesa mereka yang pakar dengan kekayaan adat resam itu mengkaji semula secara bersama untuk dijadikan tatapan generasi akan datang,” kata beliau semasa merasmikan Majlis Pelancaran Buku Adat Resam Masyarkaat Melayu Sarawak Berteraskan Syariah Islam di Hikmah Exchange pada Isnin.
Dalam masa yang sama, Abang Johari turut mencadangkan menubuhkan satu badan amanah memelihara tanah tradisi masyarakat melayu Sarawak agar terus dipelihara dan dibangunkan.
Menurutnya, badan itu nanti akan memastikan aset yang dijual kepada badan amanah Melayu dapat diguna untuk membangunkan semula kawasan berkenaan.
“Umpamanya, si pemilik kedai yang sudah meninggal dunia dan kedainya berstatus komersial maka ia akan dijual kepada siapa sahaja yang mahu membeli akan tetapi bagi orang Melayu pula selalunya mereka tidak mempunyai sumber kewangan untuk membeli jadi pada akhirnya harta itu terlepas daripada tangan orang Melayu.
“Oleh kerana itulah, kita menubuhkan badan amanah ini yang nantinya jika seseorang itu hendak menjual harta atas sebab keperluan faraid badan amanah ini boleh harta itu,” jelasnya.
Tegas beliau masyarakat Melayu boleh bekerjasama dengan orang bukan Melayu dengan syarat mereka mesti mempunyai peratusan ekuiti dan kerjasama berkenaan.
Turut hadir sama ialah Timbalan Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak; Datuk Dr Abdul Rahman Junaidi, Timbalan Menteri Tenaga dan Kelestarian Alam Sekitar; Datuk Dr Hazland Abang Hipni, Ketua Setiausaha Politik Kepada Premier Sarawak; Dato Fazzrudin Abdul Rahman, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Satok; Dato Ibrahim Baki, Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Amanah Kebajikan Masjid Negeri Sarawak (LAKMNS); Datuk Abang Abdul Wahab Abang Julai, Setiausaha Politik Kepada Dato Sri Fadillah Yusof merangkap wakil keluarga Muhammad Hasbie; Irwan Zulkarnain Muhammad Hasbie, Presiden Persatuan Penulis Sarawak; Awang Zaidel Awang Jamil serta dif kenamaan yang lain.