MIRI, 06 APRIL 2025: Insiatif Kerajaan Sarawak memberikan pendidikan percuma kepada anak Sarawak yang melanjutkan pengajian di universiti tempatan menjelang 2026 sama sekali tidak dianggap beban, sebaliknya satu pelaburan jangka panjang ke arah melahirkan anak Sarawak yang berkemahiran tinggi.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg berkata, meskipun kosnya agak tinggi namun kerajaan negeri yakin mampu menampung sepenuhnya yuran ini.
“Tidak hanya yuran percuma, kita juga akan memberikan ‘wang saku’ iaitu sebanyak RM15,000 setahun kepada setiap pelajar yang menyambung pelajaran di peringkat universiti.
“Sekiranya kita mempunyai 10,000 pelajar, saya menjangkakan ianya akan menelan perbelanjaan sebanyak RM700 juta setahun, termasuk ‘wang saku’ itu tadi tetapi ini tidak akan menjadi beban kepada Kerajaan Sarawak kerana kita lakukan ini untuk anak bangsa kita,” ujar beliau.
Beliau berkata demikian ketika berucap dalam Majlis Ramah Tamah Aidilfitri anjuran gabungan lima cawangan Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Miri, yang diadakan di sebuah hotel, pada Sabtu.
Mengulas lanjut, beliau menegaskan kepentingan pendidikan yang bukan sahaja mampu mengubah taraf hidup mereka malah dapat melahirkan anak-anak Sarawak yang pakar dalam meneroka bidang-bidang terkini, sekaligus membentuk komuniti yang mampu bersaing dalam ekonomi baharu.
Turut hadir dalam majlis tersebut ialah Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak; Dato Sri Julaihi Narawi, Menteri Pengangkutan Sarawak; Dato Sri Lee Kim Shin, Setiausaha Kerajaan Sarawak; Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki, Timbalan-Timbalan Menteri Kabinet Sarawak, Timbalan Menteri Kesihatan merangkap Pengerusi Jawatankuasa Pengelola Majlis; Dato Lukanisman Awang Sauni serta tetamu kehormat yang lain-UKAS